KUALA LUMPUR – Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata UMNO perlu jadi pembangkang yang kuat dan berkesan pada sesi sidang Dewan Rakyat yang akan bermula 16 Julai depan.
Menurut beliau, pemilihan parti itu yang berlangsung pada 30 Jun ini perlu menjadi platform dan saluran kepada suara akar umbi bagi memastikan kebajikan rakyat sentiasa diperjuangkan dan dibela.
“Untuk kekal relevan UMNO perlu membentuk dimensi baru. Walau berdepan dengan cabaran masa kini, UMNO perlu menunjukkan kematangan politik agar dihormati kawan dan lawan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Bekas Ketua Puteri UMNO itu turut mencadangkan agar UMNO menubuhkan Institut Kajian Politik sebagai wadah untuk parti itu memperhalusi isu-isu semasa yang menyentuh masyarakat Melayu.
“Saya percaya pemilihan kali ini mampu menjadi pemulaan yang baik kepada perubahan UMNO yang lebih gemilang.
“Sehubungan itu saya ucapkan jutaan terima kasih atas sokongan yang akan diberikan dan berjanji akan melaksanakan tanggungjawab ini dengan sebaiknya sekiranya diberi kepercayaan,” katanya.
Untuk rekod, Azalina, 54, adalah Ketua Sayap Puteri UMNO yang pertama, antara 2001 hingga 2004.
Selain Azalina, Exco Pemuda Umno seperti Datuk Razlan Rafii, Dr Fathul Bari Mat Jahya, Nazir Hussin Akhtar Hussin dan Datuk Armand Azha akan bertanding bagi merebut salah satu 25 kerusi dalam Majlis Tertinggi UMNO. – MalaysiaGazette