Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh bercakap pada sidang media mengenai 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Menara 238, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 25 MEI 2018
Amar Singh Ishar Singh

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini membidas laporan sebuah akhbar Cina tempatan China Press yang mendakwa polis selesai mengira dan mengesahkan nilai jam tangan serta barang kemas yang dirampas di kediaman mewah di ibu negara Mei lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Komisioner Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh menafikan laporan yang disiarkan pada 12 Jun lalu.

“Polis ingin memberi respon kepada artikel yang disiarkan oleh China Press pada 12 Jun lalu bertajuk “Pengiraan selesai, 433 jam tangan jumlahnya bernilai RM80juta, jam paling mahal bernilai RM3.5 juta’.

“Penjelasan saya untuk artikel berkenaan adalah ingin mengesahkan bahawa polis masih dalam proses mengenalpasti, pengesahan dan penilaian semua barang itu termasuk jam tangan berjenama, barang kemas dan lain lain,” katanya dalam kenyataan yag dikeluarkan hari ini.

Respon itu hadir susulan barang rampasan hasil serbuan dan pencarian berkaitan siasatan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Apartmen Mewah oleh polis di Pavilion Jalan Raja Chulan, Bukit Bintang yang dipercayai milik seorang bekas pemimpin negara pada 17 Mei lalu.

Malah jelas beliau, dakwaan berita China Press kononnya proses pengiraan nilai jam tangan dan juga barang kemas selesai adalah pramatang.

“Kami masih belum melengkapkan atau menyelesaikan proses pengesahan dan penilaian barang barang rampsan itu.

“Saya ingin menasihatkan media dan orang awam supaya bersabar dalam perkara ini.

“Satu sidang media rasmi akan diadakan oleh polis untuk mengumumkan nilai sebenar jam tangan berjenama dan barang kemas yang dirampas itu setelah segala proses pengesahan dan penialai selesai sepenuhnya,” tegas beliau.

Bercakap kepada stesen berita Televisyen Astro Awani semalam, Amar Singh menafikan mengeluarkan kenyataan mahupun pengesahan seperti yang dilaporkan akhbar itu.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast