KUALA LUMPUR – Pelakon dan penyanyi Janna Nick sanggup beraya di Rusia bagi tidak melepaskan peluang menonton perlawanan bola sepak Piala Dunia 2018 di sana.
Janna atau nama sebenarnya Nurul Jannah Muner, 23, berkata adiknya turut serta beraya bersamanya di sana dan mereka akan pulang ke Malaysia pada hari raya keempat.
“Saya berangkat ke Rusia pada Isnin dan dapatlah rasa pengalaman berpuasa di sana. Saya akan balik Malaysia pada hari raya keempat.
“Adik saya pun ada ikut sekali ke Rusia ini. Peluang ini pula sekali seumur hidup. Bukan semua orang dapat.
“Jadi, apabila semuanya ditaja, takkan la saya nak tolak dan tak pergi?” kata Janna yang berkongsi gambar-gambar di Rusia di Instagramnya.
Jelas pengacara program Melodi ini, dia pasti ramai lagi rakyat Malaysia yang sanggup beraya di luar negara semata-mata bola sepak.
“Kalau tempat saya ni boleh ditukarkan dengan orang lain, mesti ada berpuluh ribu orang yang nak duduk di tempat saya.
“Ada ramai orang yang nak tengok FIFA World Cup ini secara langsung. Raya atau tidak, mereka sanggup,” ujarnya.
Piala Dunia, yang digelar sebagai acara pertunjukan terbesar di dunia bermula pada Khamis lalu dan Rusia menjadi tuan rumah.
Tambah Janna, dia lebih gemar menonton perlawanan bola sepak secara langsung kerana waktu kerjanya tidak sesuai untuk menonton di televisyen.
Dalam pada itu, selain Janna dan adiknya, pelakon Alvin Chong dan peminat yang memenangi pertandingan anjuran telefon bimbit jenama Vivo turut ke Rusia. – MalaysiaGazette