Pengurus Pertubuhan Kebajikan Pusat Jagaan Sri Mesra, Faezah Ali berkongsi pengalaman menubuhkan Pertubuhan Kebajikan Pusat Jagaan Sri Mesra Ampang, Selangor. foto IQBAL BASRI, 30 MEI 2018
Pengurus Pertubuhan Kebajikan Pusat Jagaan Sri Mesra, Faezah Ali berkongsi pengalaman menubuhkan Pertubuhan Kebajikan Pusat Jagaan Sri Mesra Ampang, Selangor. foto IQBAL BASRI, 30 MEI 2018

KUALA LUMPUR – Pusat kebajikan warga tua tua sudah biasa kita dengar.

Fungsinya sama iaitu untuk menjaga warga emas sama ada dihantar oleh keluarga yang tidak mempunyai masa untuk menjaga ibu bapa mereka, atau pun warga tua itu hidup melarat dan ditempatkan di pusat jagaan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat. .

Namun tidak bagi Pusat Jagaan Sri Mesra yang merupakan rumah kebajikan untuk warga emas wanita Islam sebatang kara.

Sebatang kara bermaksud warga emas yang dijaga di situ kebanyakannya tidak pernah berkahwin, hanya seorang dua sahaja yang pernah berkahwin tetapi sudah tidak mempunyai keluarga.

Pengurus pusat jagaan itu Faezah Ali memaklumkan jumlah terkini wanita melebihi 60 tahun ke atas yang digelarnya sebagai nenek-nenek adalah 15 orang.

Pusat Jagaan Sri Mesra yang beroperasi sejak tahun 2013 itu tidak mengenakan sebarang bayaran kerana kebanyakan penghuninya adalah dari kumpulan asnaf.

“Uniknya Rumah Kebajikan sri Mesra ini adalah kita hanya dan menerima wanita-wanita Islam yang tidak berkahwin.

“Ada juga yang berkahwin tetapi tidak ada anak dan sudah tiada suami, hidup sebatang kara.

“Banyak nenek di sini adalah nenek yang hidup sendiri dan perlu penjagaan.

“Penghuni di sini kebanyakan daripada JKM ada juga yang dimaklumkan melalui kawan, jiran, NGO-NGO lain, doktor jadi pelbagai latar belakang dari seluruh negeri ada dari Perak, Pahang,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Masih berkhidmat sebagai jururawat sejak 17 tahun yang lalu Faezah berkata, menubuhkan rumah kebajikan untuk warga emas merupakan cita-citanya sejak dulu.

Impiannya untuk menubuhkan rumah kebajikan warga emas menjadi realiti apabila dia dan suaminya akhirnya berjaya mengasaskan Pusat Jagaan Sri Mesra, sekaligus hasrat untuk mempunyai nenek seperti orang lain turut tercapai.

“Memang cita-cita sebelum ini nak buka rumah orang-orang tua.

“Tertubuhnya rumah kebajikan ini adalah kerana kasih sayang. Kami suami isteri tidak ada nenek, bila ada rumah ini kami tubuhkan kami rasa bertuah. Doa nak nenek, termakbul,” tambahnya.

Perkara paling mencabar bagi Faezah bukan untuk menjaga nenek-nenek di situ, sebaliknya adalah berhadapan dengan hakikat bahawa akan ada yang pasti meninggalkannya kerana sakit tua dalam masa tertentu.

Ini kerana hubungannya dengan semua 15 nenek di situ sangat akrab apatah lagi Faezah tidak pernah menyerahkan tugas menguruskan warga emas di situ kepada pembantu sepenuhnya.

Banyak kenangan manis bersama-sama nenek-nenek di situ membuatkan Faezah begitu kasih kepada mereka.

“Paling susah apabila ada nenek-nenek yang sudah meninggal, itu perkara paling susah saya terima sebab kita dah jaga mereka beri kasih sayang, dah ada hubungan tapi mereka pergi memang saya rasa sedih.

“Berapa orang pun yang saya jaga di sini, semua istimewa untuk saya

“Saya memang takut, takut kehilangan mereka, cuma saya tahu mereka akan pergi (meninggal dunia) suatu hari nanti,” katanya lagi.

Setiap tahun Faezah dan suaminya akan meraikan Aidilfitri di Pusat Jagaan Sri Mesra bersama nenek-neneknya terlebih dahulu sebelum beraya dengan keluarganya.

Ianya bagi Feazah sangat bermakna kerana mereka suami isteri mengorbankan masa mereka kepada golongan yang lebih memerlukan perhatian di dunia pada masa ini. -MalaysiaGazatte

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast