LONDON – Nasib pengurus Chelsea yang dijangka diketahui minggu depan kini semakin berada di penghujung karier di kelab itu.
Status jawatan Antonio Conte bagaikan sudah berakhir di Stamford Bridge kerana pengurus Napoli, Maurizio Sarri dilaporkan semakin hampir tiba ke kelab itu.
Sarri dikatakan akan dilepaskan oleh Napoli hasil perbincangan kedua-dua kelab malah Gianfranco Zola juga bakal tiba sebagai staf di barisan kejurulatihan skuad Chelsea.
Sejak menjuarai Piala FA pada 19 Mei lalu dengan menewaskan Manchester United, Conte masih menunggu penuh debar kata putus masa depannya bersama The Blues.
Pengendali kelahiran Itali itu bakal menerima sembilan juta pound jika dipecat dan dijangka beberapa pembantunya akan turut meninggalkan kelab.
Napoli telah melantik Carlo Ancelotti namun Sarri masih terikat dengan kontrak apabila kelab tidak mahu bertolak ansur dengan jumlah bayaran perpindahan.
Difahamkan, kelab Serie A itu hanya mahu menerima tawaran pengurangan 3.5 juta pound berbanding tawaran asal bernilai tujuh juta pound. – MalaysiaGazette