Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan bersama Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi
Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan bersama Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan mendakwa bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berbohong mengenai situasi sebenar pertemuan empat mata antara beliau dengan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Beliau yang mendakwa sebagai individu yang bertanggungjawab merancang pertemuan itu berkata, Ahmad Zahid didapati berbohong kerana membuat kenyataan beliau dijemput oleh Mahathir.

“Sebenarnya (Datuk Seri) Zahid Hamidi yang merayu nak berjumpa dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad. Bukan beliau dijemput untuk berjumpa dengan Perdana Menteri,” tulis beliau dalam Facebook rasminya hari ini.

Khairuddin membuat kenyataan demikian bagi mengulas mengenai kenyataan terbaharu calon Presiden UMNO itu menegaskan beliau dijemput untuk bertemu dengan Mahathir.

“Setelah merayu nak berjumpa dengan Tun Mahathir dan akhirnya saya susun untuk beliau bertemu dengan perdana menteri dan beliau diasak serta diserang oleh ahli-ahli UMNO khususnya di saat nak bertanding jawatan presiden parti; kini Zahid ubah pula skrip pembohongannya itu,” katanya lagi.

Zahid yang merupakan antara calon bagi jawatan Presiden UMNO dalam pemilihan parti itu akhir bulan ini berkata, pertemuan itu dibuat atas permintaan Mahathir.

“Bukan saya yang minta bertemu tetapi saya dijemput untuk bertemu,” kata Zahid dipetik dalam satu laporan baru-baru ini.

Beliau berkata demikian semasa berucap di majlis ramah mesra calon-calon pemilihan UMNO anjuran Badan Perhubungan UMNO Selangor di Shah Alam pada Rabu.

Pertemuan antara Ahmad Zahid dengan Mahathir dibuat pada 9 Jun lepas, sebulan setelah BN tewas dalam pilihan raya umum 9 Mei kepada Pakatan Harapan. -MalaysiaGazette