KUALA LUMPUR – Calon Presiden UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar mahu memberi fokus kepada persiapan bagi UMNO menghadapi Kerajaan Pakatan Harapan di Parlimen jika dipilih menjadi presiden parti itu.
Sesi pertama sidang Parlimen dijangka berlangsung 16 Julai ini.
Katanya, sidang Parlimen yang pertama selepas Pilhan Raya Umum Ke-14 itu penting kerana rakyat mahu melihat sama ada parti itu sudah bangun atau sebaliknya daripada kekalahan.
Untuk itu, katanya, beliau akan membentuk Kabinet bayangan supaya UMNO dalam keadaan tersusun ketika di Parlimen.
“Kita akan membentuk Kabinet bayangan, ada menteri-menterinya…kita sudah organise..nampak tersusun.
“Kita mahu menjadi pembangkang yang berwibawa, yang akan memastikan kerajaan sentiasa accountable.
“Kita tidak mahu masuk (Parlimen) dalam keadaan carca-merba, tanya soalan tidak tersusun. Kita hendak memenuhi kehendak rakyat untuk melihat UMNO boleh berfungsi sebagai pembangkang berwibawa.
“Tidak fikir selamatkan tengkuk kita, bukan berunding lompat parti..no..no. kita terima hakikat kita kalah dan menjadi pembangkang,” katanya dalam wawancara bersama Sinar Harian.
Ditanya tidakkah kedudukan UMNO untuk menjadi pembangkang berwibawa akan dipertikaikan disebabkan isu-isu semasa pemerintahannya dahulu, Khairy berkata:”Semua pihak tidak boleh melihat kepada satu perspektif sahaja kerana ia adalah prejudis”.
Ini kerana, semua sedia maklum, isu-isu yang dikaitkan dengan kerajaan dahulu sedang disiasat dan tidak boleh dijatuhkan hukum sehingga siasatan selesai.
Beliau juga akan memastikan UMNO tidak akan menjadi membangkang semata-mata kerana menjadi pembangkang.
“Kita kena konstruktif. Di Parlimen ada dua dewan, di dewan negara kita masih majoriti. kalau kita menentang, kita boleh sekat rang undang-undang.
“Contohnya dalam isu SST dan GST. Tetapi kalau kita bangkang SST walaupun pada dasarnya kita tidak bersetuju, kerajaan tak akan dapat hasil, yang derita adalah rakyat. Sedangkan mashlahah umum adalah penting,” ujarnya. – MalaysiaGazette