Takiyuddin Hassan
Takiyuddin Hassan

KUALA LUMPUR – Jawatan Speaker dan Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah berhak dilantik dalam kalangan wakil rakyat Pas kerana memiliki jumlah majoriti, kata Datuk Takiyuddin Hassan.

Setiausaha Agung PAS itu berkata, isu pencalonan Speaker dan Timbalan yang akan dikemukakan oleh parti Islam itu semasa sidang DUN bukan perkara luar biasa, malah blok pembangkang juga ada mengemukakan calon mereka sendiri semasa sidang Dewan Rakyat.

“Soal kemuka calon dari pembangkang bukan isu baru kerana pada 2013, pembangkang ketika itu dari Pakatan Rakyat (PR) juga pernah berbuat demikian apabila kita mencadangkan Bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Abdul Kadir Sulaiman sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat, namun beliau kalah dengan Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

“Jadi, sekarang tidak salah Pas mengemukakan calon kerana kita memiliki kerusi yang banyak dan rasional untuk berbuat demikian,” beliau dipetik berkata hari ini.

Sekiranya isu pelantikan Speaker ini gagal ditangani oleh Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, kemungkinan Pilihan Raya Negeri (PRN) terpaksa diadakan.

Takiyuddin berkata Pas sedia berdepan sebarang kemungkinan termasuk untuk bertanding dalam PRN nanti.

“Pas juga masih berpendirian cara terbaik menyelesaikan isu ini adalah dengan menawarkan Kerajaan Perpaduan antara semua parti di mana ini pilihan terbaik bagi mengelak Pilihan Raya Negeri (PRN).

“PRN adalah pilihan terakhir jika isu ini menemui jalan buntu dan jika ia berlaku (PRN) kita kena terimalah,” katanya.

Pakatan Harapan memiliki 18 ADUN sementara Pas sebanyak 15 dan Barisan Nasional (BN) tiga. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast