WASHINGTON- Tentera Laut Amerika Syarikat (AS) sedang merangka pelan untuk menempatkan 25,000 pendatang asing di pangkalannya dan kemudahan-kemudahan lain dengan anggaran kos sebanyak AS$233 juta dalam tempoh enam bulan.
Ini berikutan pentadbiran Trump mahukan krisis pendatang yang semakin meningkat di sempadan Mexico dikurangkan, kata pegawai-pegawai kerajaan hari ini.
Tentera laut setakat ini masih belum diminta untuk menyediakan tempat penginapan kepada pendatang yang memasuki AS secara haram.
Menurut pegawai kerajaan yang enggan dinamakan itu, di dalam memo draf berkenaan, kawasan yang telah dikenal pasti adalah sebuah pangkalan udara tentera laut di Alabama.
Bagaimanapun, ia masih untuk tujuan perancangan sahaja.
Berita itu pertama kali dilaporkan oleh Time Magazine.
Presiden Donald Trump menerima kritikan orang ramai apabila mengumumkan dasar memisahkan pendatang asing kanak-kanak daripada ibu bapa mereka.
Ini telah menyebabkan para pembuat undang-undang sukar untuk mendapatkan kelulusan berhubung dasar tersebut.
Memo tersebut memberi petunjuk awal bagaimana Trump merancang untuk menempatkan ribuan pendatang asing sementara mereka menunggu perbicaraan.
Kemudahan yang termasuk khemah itu disifatkan di dalam memo berkenaan sebagai “sementara dan ringkas”, kata pegawai tersebut.
Ia mencadangkan supaya kemudahan-kemudahan tersebut dibina di antara enam bulan sehingga setahun. – Agensi