Zuraida Kamaruddin
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin bercakap pada sidang media di Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 26 JUN 2018.

PUTRAJAYA – Jawatankuasa Pembangunan Semula Highland Tower bakal membongkar ‘dalang’ di sebalik kehilangan senarai rekod peminjam bank dan maklumat pembeli unit kondominium itu yang runtuh 25 tahun lalu.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, data pemilik unit kondominium mewah itu lenyap dan tidak dapat dikesan hingga menyukarkan penduduk terbabit membuat sebarang tuntutan hartanah berkenaan.

“Penduduk-penduduk membuat tuntutan daripada pemaju dan bank. Bila saya minta rekod bank, tiada sebarang rekod (dikesan).

“Saya pelik kerana pihak bank (Am Bank) yang memberi pinjaman kepada pembeli bagaikan tiada maklumat senarai pembeli dan peminjam.

“Saya harap dengan jawatankuasa baharu ini, kita dapat cari jalan keluar daripada semua masalah yang timbul ini.

“Dengan kapasiti KPKT, saya harap dapat membongkar maklumat-maklumat yang saya tidak dapati ketika saya menjadi ahli Parlimen Ampang sejak 10 tahun lalu,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Terdahulu Zuraida mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Pembangunan Semula Highland Towers berkuat kuasa hari ini dan ia akan dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha kementerian itu, Datuk Seri Mohammad Mentek.

Jawatankuasa baharu itu akan memulakan mesyuarat pertamanya esok dengan menemui pelbagai agensi berkaitan yang terlibat dengan pembangunan kondominium mewah yang runtuh itu.

Pembentukan Jawatankuasa Pembangunan Semula Highland Tower yang diumumkan Zuraida sebelum ini adalah untuk mengkaji semula, menyiasat dan membuat pelan tindakan cadangan pembangunan semula tapak kondominium Highland Tower yang terbiar itu.

Zuraida yakin misteri kehilangan maklumat pembeli dan peminjam itu bakal diketahui kelak.

“Insiden Highland Towers berlaku sejak 1993 dan hampir 25 tahun. Kes ini tersangkut sejak lima tahun lalu kerana ia di luar bidang kuasa saya untuk mengetahui lebih jauh perkara itu pada masa itu.

“Saya harap dengan kapasiti sebagai menteri sekarang ini, saya boleh pergi jauh daripada itu.

“Jabatan Insovensi tidak boleh pergi ke mana-mana, kita masih tidak memperolehi maklumat lengkap, apa mereka boleh buat, pengurusan kes itu tersangkut,” katanya.

Katanya, sekiranya perkara itu dapat ditangani, ia akan memudahkan KPKT membuat penbangunan semula termasuk membangunkan projek perumahan rakyat khususnya kepada golongan B40.

“Tapak Highland Towers itu adalah sebidang tanah premium dalam bandar atau sempadan Kuala Lumpur tidak harus dibiarkan terbengkalai begitu sahaja dan harus dimanfaatkan sepenuhnya,” tambah beliau.

Ditanya tentang pembangunan semula projek perumahan di kawasan berisiko tinggi boleh mengundang insiden tanah runtuh, beliau berkata, ia tidak mustahil dapat dibangunkan jika pemaju mematuhi prosedur pembangunan di kawasan berbukit.

“Sebab itu kita kena ikut spesifikasi pembangunan di lereng bukit dan lihat keadaan untuk memastikan ia mematuhi syarat bangunan dan perumahan di sana.

“Pembangunan semula perumahan di sana boleh dilakukan kerana banyak projek dibangunkan semula di tapak tanah runtuh di kawasan Ampang,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast