SHAH ALAM – Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, PKR telah mengadakan mesyuarat membincangkan isu yuran pendaftaran calon yang didakwa oleh sesetengah ahli sebagai terlalu mahal.
Menurut Presiden PKR itu, dalam mesyuarat berkenaan parti telah membuat sedikit peraturan untuk sama-sama menanggung kos yuran pemilihan.
“Memang jumlah yuran pencalonan yang ditetapkan itu ada terkandung dalam pekeliling dan kita prihatin dengan rungutan itu.
“Kita ada mesyuarat dan parti membuatkan sedikit peraturan iaitu kita sama-sama menanggung kos pemilihan itu,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Institut Darul Ehsan di Dataran Institut Darul Ehsan di Seksyen 15 di sini, hari ini.
Turut hadir, Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari.
Selasa lalu, viral di laman sosial rungutan seorang ahli mendakwa dari PKR berhubung yuran pencalonan bagi pemilihan parti itu Ogos ini dikatakan terlalu mahal sehingga mencecah RM25,000 bagi jawatan tertinggi parti dan RM3,000 di peringkat Cabang, hierarki terbawah dalam parti.
Bagi jawatan Presiden parti, sebanyak RM25,000 perlu dibayar sebagai yuran pencalonan, Timbalan Presiden (RM20,000), Naib Presiden (RM10,000) dan Ahli Majlis Pimpinan Pusat (RM5,000).
Di peringkat jawatan Ketua Cabang pula, mana-mana calon perlu membayar yuran pencalonan berjumlah RM3,000 dan jawatan paling bawah iaitu Ahli Jawatankuasa (AJK) Cabang pula perlu membayar yuran sebanyak RM500.
Dr. Wan Azizah memberitahu, jumlah itu menimbulkan rungutan kerana PKR tidak seperti parti lain (dipercayai merujuk UMNO) yang mana yuran pencalonannya dibiayai oleh agensi dan jabatan kerajaan.
“Kita (PKR) tidak ada agensi kerajaan yang menanggung (membiayai) ini,” katanya.
Mengenai bahasa, Timbalan Perdana Menteri itu menyifatkan isu Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengeluarkan kenyataan dalam bahasa Mandarin sudah selesai.
Katanya, setiap percakapan dan kenyataan rasmi sudah lama menjadi polisi kerajaan iaitu bahasa rasmi adalah bahasa Kebangsaan.
“Tapi kalau ada (keluarkan kenyataan) terjemahan, tidaklah salah, sebagaimana kata (jawapan) Perdana Menteri (Tun Dr. Mahathir Mohamad).
“Itu (kes Guan Eng) tidak ada isu. Dia juga keluarkan terjemahan. Sebagaimana kita tengok wayang, ada subtitle (alih bahasa),” katanya. – MalaysiaGazette