KUALA LUMPUR – Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mendahului dengan 16 undian setakat pukul 9 malam tadi bagi merebut jawatan Naib Presiden UMNO.
Bekas Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah itu mendahului dengan satu undi berbanding pesaing terdekatnya, Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang memperolehi 15 undian.
Manakala bekas Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin meraih 13 undi diekori rapat Datuk Tajuddin Abdul Rahman dengan 12 undi.
Sementara itu, bagi bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said masih memperoleh satu undi.
Bagi calon ‘kecil’ yang bertanding jawatan berkenaan iaitu Sheikh Razali Sheikh Hamad masih gagal meraih sebarang undi buat masa ini.
Seramai tujuh orang calon yang bertanding bagi merebut jawatan Naib Presiden UMNO bagi penggal 2018 sehingga 2021.
Sebelum ini, jawatan Naib Presiden UMNO disandang oleh Datuk Seri Dr. Zahid Hamidi.
Bagi pemilihan kali ini, tiga calon iaitu, Datuk Seri Dr. Zahid Hamidi, Khairy Jamaluddin dan Tengku Razaleigh Hamzah merebut jawatan Presiden UMNO selepas Perdana Menteri sebelum ini, Datuk Seri Najib Tun Razak meletak jawatan tersebut.
Sementara itu, pemilihan bagi jawatan Timbalan Presiden UMNO iaitu Datuk Seri Mohamad Hasan buat masa ini memperolehi 27 undi, manakala Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa dengan 16 undi. – MalaysiaGazette