PUTRAJAYA – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sedang mengkaji elemen antun (sexual grooming) yang wujud dalam kes kes perkahwinan kanak-kanak perempuan berumur 11 tahun baru-baru ini.
Menterinya, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, para pegawai kementerian tersebut sedang menyiasat perkara itu sekiranya ia berkaitan dengan Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
“Pada masa ini, penyiasatan terhadap kes ini masih berlangsung. Pegawai-pegawai saya sedang bekerjasama dengan pelbagai agensi penguatkuasaan dan kementerian berkenaan untuk memperhalusi kes ini dengan lebih teliti termasuk meneliti elemen antun (sexual grooming) yang merupakan satu kesalahan di bawah Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017,” katanya ketika sidang media hari ini.
Wan Azizah yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, perkahwinan kanak-kanak itu dengan lelaki berumur 41 tahun tidak sah ekoran tidak ada permohonan dibuat terlebih dahulu oleh ibu bapanya di mahkamah.
“Di bawah Enakmen Keluarga Islam yang dikuatkuasakan di semua negeri usia minimum bagi lelaki adalah 18 tahun manakala bagi perempuan adalah 16 tahun.
“Sekiranya mereka di bawah umur, perkahwinan hanya dibenarkan jika ada kebenaran mahkamah atau Ketua Menteru atau Menteri Besar dan persetujuan ibu bapa mereka. Saya suka menegaskan, sehingga hari ini tiada kelulusan berkaitan makantiada kelulusan telah diberikan untuk membolehkan perkahwinan tersebut berlangsung seperti didakwa,” tambahnya.
Tindakan seorang peraih getah berusia 41 tahun di Kelantan mengahwini seorang kanak-kanak perempuan berumur 11 tahun yang difahamkan berasal dari selatan Thailand baru-baru ini mencetuskan polemik apabila ia disifatkan bercanggah dengan Akta Kanak-Kanak 2016 dan Enakmen Keluarga Islam.
Mengulas lanjut, Jabatan Kebajikan Masyarakat telah menemui ibu bapa kanak-kanak itu termasuk suaminya di Gua Musang, Kelantan.- MalaysiaGazette