Khalid Abdul Samad
Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad dipakaikan tanda nama oleh Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Adnan Md Ikhsan (kanan) semasa memulakan tugas pada hari pertama sebagai Menteri Wilayah Persekutuan yang baharu di Menara Sri Wilayah, Putrajaya. foto FAREEZ FADZIL, 03 JULAI 2018.

PUTRAJAYA – Kementerian Wilayah akan menjalankan siasatan dalaman terhadap 64 kes penjualan bidang tanah kepada Yayasan Wilayah Persekutuan.

Menteri Wilayah, Khalid Samad berkata, pihaknya akan bekerjasama sepenuhnya dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi tujuan itu.

“SPRM akan menjalankan tugas dan kita tidak menghalang peranan mereka dan akan menjalankan kerjasaman yang sepenuhnya.

“Pokoknya kalau ada apa-apa bentuk penyelewengan dan rasuah saya dan Datuk Sharuddin tidak akan memberikan apa-apa kompromi,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Khalid berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai laporan terhadap bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) oleh Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng pada Mei lalu.

Terdahulu, Khalid bersama timbalannya, Datuk Dr Sharuddin Md Salleh melapor diri di Menara Seri Wilayah pada hari pertama menjalankan tugas rasmi.

Khalid mengetip kad perakam waktu pada pukul 8.35 pagi dan kemudian mendengar taklimat lebih dua jam daripada Ketua Setiausaha Kementerian (KSU) dan pengurusan tertinggi berkenaan operasi di kementerian itu.

Sebelum ini, Lip Eng memfailkan laporan terhadap Tengku Adnan kepada SPRM untuk menyiasat kes penjualan 64 bidang tanah kepada Yayasan Wilayah Persekutuan pada 2013.

Lip Eng mendakwa, individu pertama yang harus mereka siasat ialah Tengku Adnan kerana beliau bertanggungjawab dalam meluluskan pembelian tanah tersebut.

Malah, Lip Eng turut menegaskan Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Loga Bala Mohan dan Datuk Bandar juga perlu disiasat bersama kerana mereka adalah sebahagian daripada anggota yayasan tersebut.

Dalam perkembangan sama Khalid menegaskan, beliau akan pergi melawat ke semua agensi di bawah kementeriannya termasuk di Labuan.

Bagaimanapun, beliau menyedari bahawa tindakannya itu tidak akan membuatkan semua orang berasa gembira tetapi ia bukanlah sesuatu yang mustahil.

Katanya, beliau mahu mendapatkan gambaran lebih jelas mengenai perjalanan pentadbiran dan suasana di setiap agensi tersebut agar khidmat kepada penduduk di wilayah dapat dilaksanakan dengan cemerlang. – MalaysiaGazette