Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu

PUTRAJAYA – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan akan mencadangkan agar Universiti Putra Malaysia (UPM) ditukar semula namanya ke Universiti Pertanian Malaysia dalam usaha memartabatkan industri agro.

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, ini kerana bidang pertanian kini telah menjadi satu isu global di peringkat antarabangsa termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Justeru menurut beliau, cadangan mengembalikan semula nama UPM itu dilihat relevan dengan perkembangan pertanian semasa sama ada dalam negara mahu pun dunia.

“Saya berhasrat begitu sebab kita dulu barangkali kita tidak fikir masa itu tidak berlaku perubahan cuaca dan kepanasan dunia. Jadi pertanian ini sudah jadi isu dunia. Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) pun bincang (pertanian) dan menteri yang jaga pertanian sudah jadi kanan.

“Dulu tidak sangat kerana soal makanan tidak penting. (Jadi) Universiti Pertanian kembali nama itu, saya ingat sesuai,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program Sidang Idea Malaysia (MyIDEAS) menerusi Sidang Selari 7 bertemakan Keterjaminan Makanan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamad Sabu memberitahu, beliau akan mengutarakan cadangan menukar semula nama UPM kepada kepada kementerian terbabit dan melakukan perbincangan selanjutnya.

Jelas beliau, cadangan itu akan diusulkan dalam mesyuarakat Kabinet akan datang mengikut kesesuaian waktu.

“Sekarang semua penting apabila tidak cukup makan akan timbul masalah dan setuju dengan cadangan beberapa profesor yang aktif di peringkat antarangsa dan kita akan manfaatkan kepakaran mereka,” katanya.

Sejarah Universiti Pertanian Malaysia bermula apabila ditubuhkan pada tahun 1971 berasaskan penggabungan Kolej Pertanian Malaya dan Fakulti Pertanian Malaya yang ketika itu di bawah kelolaan Universiti Malaya.

Namun berikutan dengan perkembangannya pada 3 April 1997, Universiti Pertanian Malaysia telah diberi nama baru iaitu Universiti Putra Malaysia oleh Perdana Menteri Malaysia ketika itu, Datuk Seri Dr. Mahathir bin Mohammad.

Nama baru ini dipilih kerana lokasinya bersebelahan dengan Putrajaya dan mengambil sempena nama Perdana Menteri Pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here