Ahmad Maslan
Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak wajar mewujudkan Tabung Harapan Malaysia (Tabung Harapan) dengan mendapatkan sumbangan daripada rakyat untuk membayar hutang negara.

Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Ahmad Maslan secara sindir berkata, daripada lebih 190 negara di dunia, berapa banyak negara yang ada tabung untuk rakyat membayar hutang kerajaan.

“Kerajaan yang berhutang, maka kerajaanlah yang patut bayar seperti yang ada dalam Bajet Tahunan. Kenapa susahkan rakyat.

“Hutang Malaysia terkawal kata wakil Bank Dunia. Kenapa kerajaan PH kata sebaliknya?” soal beliau dalam kenyataan yang dipetik melalui laman Twitternya hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Ekonomi Bank Dunia (Malaysia), Dr. Richard Record semalam yang dilaporkan berkata, hutang Malaysia masih terkawal dan tidak akan menjerumuskannya ke dalam krisis terutama dari segi tukaran asing kerana 97.7 peratus daripada hutang negara adalah di dalam ringgit.

Katanya, Malaysia masih berisiko rendah meskipun berdepan dengan masalah jumlah hutang negara yang mencecah RM1 trilion.

“Jumlah itu (hutang), sebanyak 97.7 peratus adalah dalam denominasi ringgit. Ia wajar menyediakan risiko terhad kepada kerajaan dari segi pendedahan kepada tukaran asing,” lapor Dr. Richard.

Sejak Tabung Harapan dilancarkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada 30 Mei lalu, sehingga semalam tabung itu mengumpul lebih RM132 juta. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast