Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun
Mohamad Fuzi Harun

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak akan menubuhkan unit baharu dalam pasukan itu selepas berlakunya penstrukturan dan rombakan terhadap tiga pasukan khasnya sebelum ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, pada masa ini, rombakan adalah melibatkan Pasukan Tindakan Khas Antimaksiat, Judi dan Gangesterisme (Stagg), Pasukan Khas Taktikal Narkotik (Sting) dan Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (Stafoc).

“Sesetengah pegawai dan anggota akan diserapkan ke Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN).

“Jika ada lebihan, kita akan sesuaikan di jabatan tertentu untuk menguatkan jabatan itu yang ada kekurangan keanggotaan,” katanya seperti dilaporkan sebuah laman portal hari ini.

Mohamad Fuzi menambah, tiada penubuhan unit baharu selepas rombakan tersebut, namun unit yang sedia ada itu akan diperkemaskan.

Katanya, selepas selesai penstrukturan ini, ia akan dirujuk ke Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk penyelarasan walaupun ia mengambil sedikit masa.

Pada 26 Jun lalu, Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan tiga pasukan khas PDRM dijangka dimansuhkan dalam masa terdekat susulan penstrukturan semula bagi memastikan PDRM dipandang tinggi oleh masyarakat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast