Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Shukri Abdull bercakap pada sidang media khas di Ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Ra­suah Malaysia (SPRM), Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 22 MEI 2018.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Shukri Abdull . foto HAZROL ZAINAL, 22 MEI 2018.

KUALA LUMPUR – Mana-mana pihak atau induvidu yang terlibat dengan pembekuan akuan bank berjumlah  RM1.1 bilion yang disyaki mempunyai kaitan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) diminta segera tampil memberi kerjasama supaya tidak berdepan dengan sebarang tindakan undang-undang kelak.

Menurut Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Mohd Syukri Abdull, pihaknya mahu pemilik akuan yang dibekukan, tidak kira induvidu, parti politik serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO), secara sukarela memulangkan wang berkenaan.

Jelas beliau, seandainya mereka tahu dana tersebut berpunca dari 1MDB, adalah lebih baik untuk tampil memberi kerjasama dengan pihak berkuasa secepat mungkin.

“Kita telah bekukan akuan-akuan yang kita punyai bukti lengkap menerima dana daripada 1MDB. Seandainya pemilik akuan itu tahu dan sedar, adalah lebih baik anda tampil memberi kerjasama.

“Kita juga tidak perlu beri apa-apa notis kepada pemilik akuan sebaliknya jika mempunyai bukti, kita lakukan apa yang betul mengikut lunas undang-undang.

“Kita minta supaya pemilik akuan tersebut supaya serahkan wang secara sukarela kalau tidak tindakan akan diambil dengan kadar segera,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan buku hasil karya Presiden Transperancy Malaysia (TI-M), Datuk Akhbar Satar bertajuk ‘Corruption and Crime in Malaysia: Perception or Reality’ di Gerak Budaaya di sini hari ini.

Tambah beliau, setakat ini pembekuan akaun hanya melibatkan akaun-akaun tempatan.

Bagaimanapun, beliau tidak menolak kemungkinan terdapat akaun yang akan dibekukan selepas ini dengan nilai lebih besar.

“Kita juga telah mendapat kerjasama yang baik daripada negara-negara luar seperti Singapura, Amerika Syarikat (AS) dan Switzerland. Sebenarnya untuk pengetahuan anda, negara-negara itu sebenarnya tertunggu untuk menyalurkan maklumat kepada kita,” ujarnya.

Semalam Pasukan Petugas Khas (Task Force) 1MDB telah membekukan 408 akaun bank melibatkan dana RM1.1 bilion untk tempoh 26 dan 29 Jun 2018 lalu.

Menurut kenyataan pasukan tersebut, akaun yang dibekukan turut membabitkan 81 individu serta 55 buah syarikat yang dipercayai pernah menerima dana daripada 1MDB.

“Akaun-akaun tersebut dipercayai ada kaitan dengan penyelewengan dan salah guna dana 1MDB. Ia melibatkan hampir 900 transaksi yang dibuat antara Mac 2011 dan September 2015.

“Pasukan Petugas Khas 1MDB kini sedang menjalankan siasatan bagi mengenalpasti tahap pembabitan pihak-pihak terbabit. Siasatan dijalankan secara menyeluruh dengan berlaku adil kepada semua pihak yang terbabit,” katanya. – Malaysia Gazette