Ketua Pegawai Eksekutif BERNAS, Ismail Mohamed Yusoff memberikan penerangan tentang padi dan beras dalam industri ketika taklimat BERNAS bersama media di Holiday Inn, Glenmarie, Shah Alam, Selangor. foto AFIQ RAZALI, 04 JULAI 2018.

SHAH ALAM – Tiada jaminan harga akan diturunkan sekiranya dagangan import beras dibuka.

Ini kerana selama ini beras import tidak boleh dijual melebihi harga beras tempatan iaitu RM2.60 sekilogram yang mana harga tersebut dikawal kerajaan dan tidak pernah dinaikkan sejak 10 tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif, Padiberas Nasional Bhd. (Bernas), Ismail Mohamed Yusoff menegaskan, di bawah Mekanisme “Gatekeeping” Tunggal, syarikat tersebut wajib mengutamakan kebajikan pesawah tempatan dan memastikan bekalan beras kepada pengguna adalah stabil pada harga mampu milik.

“Selama ini Bernas tidak pernah gagal di dalam melaksanakan tanggung jawab tersebut.

“Ingin saya tegaskan, kami bukan memonopoli pasaran beras tempatan sebaliknya kami hanyalah salah seorang pemain industri yang tertakluk kepada Mekanisme “Gatekeeping” Tunggal dan ia tidak datang dengan percuma.

“Ada tanggungjawab-tanggungjawab yang perlu kami pikul bagi mengekalkan kestabilan dan akses beras kepada pengguna tidak terganggu,”katanya semasa taklimat media di sini hari ini.

Menurut Ismail, selain perlu memastikan harga beras import tidak melebihi harga beras tempatan, Bernas juga terpaksa mengimport beras tanpa mengira harga pasaran global sehingga terpaksa menanggung kerugian dalam menunaikan tanggungjawab mereka untuk memastikan sekuriti makanan kebangsaan terjamin.

Tambahnya, Bernas pernah mencatat kerugian atau penyusutan keuntungan disebabkan harga beras di pasaran antarabangsa terlalu tinggi dan tidak menguntungkan serta akibat lambakan beras.

Sekiranya harga beras dunia jatuh, Bernas pula katanya, tetap tidak dibenarkan untuk mengimport lebih banyak.

“Malaysia memang sebuah negara yang mengalami defisit beras dan kita amat bergantung kepada import untuk memenuhi permintaan dalam negara.

“Namun begitu, Bernas selaku Gatekeeper Tunggal tetap tidak dibenarkan untuk mengimport lebih banyak beras berbanding defisit berkenaan.

“Ini kerana kami hanya dibenarkan mengimport beras sekadar untuk memenuhi permintaan dalam negara dan melengkapi pengeluar tempatan demi menjaga kebajikan pesawah,” katanya lagi.

Sejumlah 90 peratus permintaan beras putih setiap tahun yang mana 60 peratus adalah untuk beras tempatan manakala baki 30 peratus adalah permintaan untuk beras import.

Hanya 10 peratus orang Malaysia memakan beras istimewa seperti herbal ponni, beras perang, basmathi dan sebagainya.- MalaysiaGazette