Projek ECRL sepanjang 688 kilometer itu akan menghubungkan Lembah Klang dengan kawasan Pantai Timur melalui rangkaian perkhidmatan kereta api yang melalui Pelabuhan Klang, Terminal Pengangkutan Bersepadu (ITT) Gombak, Bentong, Mentakab, Kuantan, Kemaman, Kerteh, Kuala Terengganu, Jelawat di Bachok dan berakhir di Pengkalan Kubor, Tumpat.

KUALA LUMPUR – Malaysia Rail Link Sdn. Bhd. telah mengarahkan China Communications Construction Ltd. (CCCC) untuk menggantung semua kerja-kerja projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) berkuatkuasa serta merta.

Ia membabitkan kerja-kerja kejuruteraaan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC).

MRL telah mengarahkan CCCC untuk menangguhkan semua kerja  EPCC melalui surat bertarikh 3 Julai lalu, antara lain, dengan alasan kepentingan nasional, menurut laporan Theedgemarket.com.

“Dalam tempoh penggantungan ini, anda sepatutnya melindungi, menyimpan dan menjamin kerja-kerja tersebut daripada sebarang kemusnahan, kehilangan atau kerosakan.

“Di samping itu, anda tidak boleh mengalihkan sebarang peralatan, bahan atau mana-mana bahagian kerja dari tapak projek, tanpa persetujuan bertulis terlebih dahulu daripada kami.

“Penggantungan ini serta-merta dan akan berkuatkuasa sehingga arahan selanjutnya dari kami,” menurut surat itu.

Menurut theedgemarket.com surat itu ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif MRL, Datuk Sri Darwis Abd Razak.

Jurucakap MRL mengesahkan arahan penggantungan kerja-kerja projek ECRL.

Semalam, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng memaklumkan kos sebenar ECRL menelan kos sebanyak RM81 bilion.

Jumlah itu tidak termasuk deposit kos operasi yang tidak dapat ditentukan buat masa ini.

Kos asas pembinaan landasan keretapi sepanjang 688.3 kilometer itu sahaja berjumlah RM66.78 bilion.

Walau bagaimanapun, jumlah kos projek ECRL adalah RM80.92 bilion selepas
mengambil kira kos pengambilalihan tanah, faedah, yuran dan kos operasi lain. – MalaysiaGazette