PUTRAJAYA – Selepas enam jam anak tiri bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Riza Aziz dilihat meninggalkan ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada pukul 9 malam tadi.
Beliau yang hadir di sini sekitar 3 petang tadi pada hari kedua selepas sembilan jam menghabiskan masa di SPRM pada Selasa lalu.
Pemberita yang menanti di luar pagar ibu pejabat SPRM difahamkan oleh seorang pegawai, Riza berkemungkinan akan memberi keterangan kepada SPRM selama lima hari.
Tanpa memberikan sebarang respon, Riza yang menaiki kereta Audi kelihatan tenang.
Riza, 41, merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Red Granite Pictures, yang didakwa menerbitkan filem The Wolf Of Wall Street menggunakan wang yang diselewengkan daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Pagi tadi, Najib juga didakwa dengan tiga pertuduhan pecah amanah jenayah dan satu pertuduhan salah guna kuasa.-MalaysiaGazette