SEPANG – Seorang pemandu lori maut selepas terlibat dalam nahas jalan raya membabitkan dua kenderaan di Jalan Dengkil-Banting, Dengkil, di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Sepang Asisten Komisioner Norhizam Bahaman berkata, pihak Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Sepang sekitar jam lebih kurang 12.10 tengah hari menerima makluman tentang kemalangan maut itu.
Katanya, siasatan awal polis mendapati nahas jalan raya itu membabitkan sebuah lori muatan tiga tan dan lori tangki di Jalan Dengkil- Banting.
“Semasa kejadian sekitar jam 12 tengah hari lori tiga tan sedang dalam perjalanan dari arah Dengkil menuju ke Banting.
“Setelah tiba di tempat kejadian lori 3 tan itu disyaki telah hilang kawalan lalu terbabas masuk ke jalan bertentangan dan terlanggar bahagian hadapan sebuah lori tangki,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Tambah beliau, nahas itu mengakibatkan pemandu lori tiga tan seorang lelaki tempatan tersepit dalam lori dan meninggal dunia di lokasi kejadian tersebut.
“Polis masih meneruskan siasatan lanjut bagi menentukan punca kemalangan maut itu.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan mayat mangsa dihantar ke Hospital berhampiran untuk proses bedah siasat bagi menentukan punca kematian,” ujarnya lagi.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian nahas itu diminta menghubungi mana-ana balai polis berhampiran atau IPD Sepang atau menghubungi Inspektor Mohamad Fadzil Zainol Abidin di talian 019-6488474.
Terdahulu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ahmad Mukhlis Mokhtar mengesahkan tentang nahas tersebut.- MalaysiaGazette