Peguambela kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah bercakap kepada media behubung pertuduhan kes SRC International Sdn Bhd di Mahkamah Tinggi Jenayah, Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 04 JULAI 2018
Muhammad Shafee Abdullah

KUALA LUMPUR – Mana-mana pihak yang membuat kenyataan atau mengulas berkaitan empat pertuduhan ke atas Datuk Seri Najib Razak mengenai dana SRC International Sdn. Bhd. hingga mewujudkan prasangka adalah satu penghinaan kepada mahkamah.

Peguam Najib, Tan Sri Mohammad Shafee Abdullah berkata, arahan untuk menghentikan penyiaran dan penerbitan atau gag order yang diperoleh hari ini perlu dipatuhi semua platform media termasuk pengguna laman sosial.

Gag order ini untuk menghentikan sesiapa sahaja membuat kenyataan dan penerbitan secara tidak adil kepada Datuk Seri Najib.

“Perbicaraan belum berjalan tapi ada pihak sudah menghukum Datuk Seri Najib bersalah 100 peratus.

Gag order juga menghalang sesiapa saja mengatakan mereka tidak pernah melihat kes penipuan sebesar ini,” katanya pada sidang media di hadapan Mahkamah Tinggi hari ini.

Terdahulu, Mohammad Shafee memohon Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohd. Soffian Abdul Razak mengeluarkan gag order untuk menghalang penerbitan media terhadap merit kes bekas Perdana Menteri itu daripada diulas dan dibahas oleh mana-mana pihak.

Bagaimanapun, Hakim Mohd Soffian meminta Mohammad Shafee mengemukakan permohonan afidavit secara rasmi kepada Mahkamah Tinggi.

Ia susulan pertuduhan salah guna kuasa dan pecah amanah ke atas Ahli Parlimen Pekan itu berhubung dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Mohammad Shafee juga menegaskan, orang ramai juga tidak boleh mengeluarkan kenyataan atau memberi komentar mengenai kes pertuduhan itu dengan cara prasangka.

“Orang ramai tak boleh menuduh Datuk Seri Najib sebagai berpura-pura tiada duit apabila wang ikat jamin minta dikurangkan dan dibayar secara ansuran.

“Perkara teknikal prosiding itu tidak boleh diulas kerana ia akan memudaratkan perbicaraan kes itu secara adil,” katanya lagi. – MalaysiaGazette