Jamal Yunos
Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos diiringi anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk dibicarakan di Mahkamah Majistret Ampang, Pandan Indah. foto AFIQ RAZALI, 05 JULAI 2018

AMPANG – Datuk Seri Jamal Md Yunos dihantar ke Penjara Sungai Buloh selepas permohonan ikat jamin ditolak Mahkamah Majistret Ampang hari ini.

Mahkamah yang bersidang pada pukul 5 petang tadi membuat keputusan itu selepas Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar itu dituduh melarikan diri daripada jagaan pihak polis dari Hospital KPJ Ampang Puteri di sini pada 25 Mei lalu.

Majistret Muhamad Firdaus Sadina Ali tidak membenarkan Jamal diikat jamin selepas beliau membuat pengakuan tidak bersalah diatas pertuduhan yang dibacakan terhadapnya.

Mengikut pertuduhan, Jamal, 48 didakwa dengan sengaja melepaskan diri daripada jagaan pihak polis yang mana dia sudah ditahan secara sah di sisi undang-undang.

Dua daripada tiga kesalahan itu adalah di bawah Seksyen 448 Kanun Keseksaan (ceroboh) yang sudah dituduh di Mahkamah Majistret Ampang pada Mei lalu manakala kesalahan di bawah Seksyen 290 Kanun sama (khianat) dituduh di Mahkamah Majistret Shah Alam, pada bulan sama.

Kesalahan itu didakwa dilakukan Jamal di Hospital KPJ Ampang Puteri di sini, antara jam 2 hingga 3 petang, 25 Mei lalu mengikut Seksyen 224 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun dan denda atau kedua-duanya, jika disabit kesalahan.

Mahkamah tidak membenarkan jaminan dan menetapkan 30 Julai ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Dalam prosiding itu, pihak pendakwaan diketuai Pengarah Pendakwaan Negeri Selangor, Datuk Razali Che Ani selain dua Timbalan Pendakwa Raya, Faten Hadni Khairuddin dan Mahathir Mohd Khairuddin manakala Jamal diwakili peguam Khairul Annuar.

Pada 26 Mei lalu, media melaporkan Jamal dipercayai menghilangkan diri dari Hospital Pakar Ampang Puteri, di sini ketika proses dokumentasi jaminan mahkamah sedang disiapkan berhubung tiga pertuduhan yang dihadapinya.

Terdahulu, Jamal dibawa oleh anggota polis dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menaiki pesawat MH710 dari Jakarta, Indonesia tiba di pekarangan mahkamah kira-kira pukul 3.55 petang.

Pada 2 Julai lalu, Jamal yang diburu polis lebih sebulan lalu ditahan oleh Polis Negara Republik Indonesia (POLRI) pada pukul 6.15 petang (waktu tempatan).

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam satu kenyataan berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah dihubungi untuk menyelaras urusan membawa pulang Jamal ke negara ini.

Sebuah portal berita Indonesia, Detik.com, melaporkan Jamal ditangkap di Tebet, Jakarta Selatan. – MalaysiaGazette

Baca Selanjutnya:

Jamal Yunos dibawa ke mahkamah untuk direman

Jamal Md Yunos di Mahkamah Ampang

Jamal akan didakwa melarikan diri daripada tahanan polis

Jamal dihantar pulang hari ini

PDRM kerjasama dengan POLRI bawa Jamal pulang

Jamal dibawa pulang ke Malaysia hari ini

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast