Roslan Shahir Mohd Shahir
Roslan Shahir Mohd Shahir

KUALA LUMPUR – Pas Selangor mengharapkan berlaku pertandingan satu lawan satu antara parti itu dengan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis ini.

Menurut Pengarah Jabatan Pilihan Raya Pas Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir, pertandingan dua penjuru itu adalah yang terbaik bagi PRK kali ini, berbanding tiga hingga empat penjuru dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) baru-baru ini.

“Saya tidak pernah mengeluarkan kenyataan mengesyorkan agar Pas dan UMNO membentuk kerjasama bagi menghadapi pilihan raya kecil DUN Sungai Kandis.

“Apa yang saya nyatakan ialah, dari penilaian awal kami (Pas), pertandingan satu lawan satu antara Pas dengan mana-mana parti komponen PH adalah yang terbaik bagi PRK ini,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

PRK Sungai Kandis diadakan berikutan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan itu, Shuhaimi Shafie meninggal dunia Isnin lalu di Pusat Perubatan Subang Jaya akibat kanser Limfoma.

Allahyarham yang merupakan besa ADUN Sri Muda selama dua penggal menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 11.10 pagi dan jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21, Shah Alam.

Jelas Roslan Shahir, beliau turut memberi pandangan, dalam keadaan UMNO yang berhadapan pelbagai masalah dalaman khasnya di Selangor adalah lebih wajar parti itu tidak meletakkan calonnya dan memberi laluan kepada Pas untuk menghadapi PH.

“Saya tidak pernah mencadangkan sebarang bentuk kerjasama antara Pas dan UMNO, sesuatu yang di luar bidang kuasa saya selaku pengarah pilihan raya,” katanya.

Mengenai kesiapsiagaan jentera Pas menghadapi PRK, katanya, jentera pilihan raya Pas negeri itu sudah sedia mengatur gerak kerja untuk bertanding sekiranya pimpinan parti memutuskan parti itu masuk bertanding. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast