Dr Mohd Khairuddin Aman Razali
Dr Mohd Khairuddin Aman Razali

KUALA LUMPUR – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) mesti menunjukkan kesungguhan mempertahankan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara.

Ahli Parlimen Pas Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, mereka jangan memberi isyarat yang salah kepada rakyat bahawa PH telah meruntuhkan tonggak asas bernegara yang telah dipersetujui semua kaum.

Sebelum ini, katanya, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menggunakan bahasa Mandarin dalam kenyataan rasmi yang dikeluarkannya serta mempertahankan tindakan itu.

“Malang lagi, pimpinan Pakatan Harapan turut membela mantan Ketua Menteri Pulau Pinang itu dengan menganggap isu tersebut adalah kecil.

“Sedangkan, Perkara 152(1)(a) Perlembagaan Persekutuan telah secara jelas menyatakan akan keperluan penggunaan bahasa Melayu dalam urusan rasmi kerajaan,” katanya menerusi kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Bahasa Melayu semakin dipinggirkan apabila semalam, Peguam Negara, Tommy Thomas yang mengetuai pasukan Pendakwa Raya ke atas kes melibatkan Datuk Seri Najib Tun Razak memohon agar prosiding di Mahkamah Tinggi dijalankan menggunakan bahasa Inggeris.

Sidang media yang mahu diadakan oleh Tommy selepas itu juga turut dibatalkan pada peringkat awal selepas didesak orang ramai supaya beliau menggunakan bahasa Melayu.

Menurut Dr Mohd Khairuddin, sebagai Peguam Negara, Tommy sepatutnya lebih memahami tuntutan Seksyen 8 Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 yang mahukan segala prosiding dalam Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan, Mahkamah Tinggi atau mana-mana Mahkamah Rendah dijalankan menggunakan bahasa kebangsaan.

“Ia barang kali berikutan penguasaan bahasa Melayu yang lemah oleh beliau,” sindirnya.

Keadaan ini juga, katanya, menunjukkan sebenarnya seawal mencadangkan nama Tommy untuk dilantik sebagai Peguam Negara dahulu, kerajaan Pakatan Harapan tidak prihatin terhadap Seksyen 11(2) Akta Profesyen Undang-Undang 1976.

Seksyen tersebut menyatakan “tiada seseorang pun berkelayakan boleh diterima masuk sebagai peguam bela dan peguam cara melainkan, sebagai tambahan pada memenuhi kehendak subseksyen (1), dia telah lulus atau dikecualikan daripada Peperiksaan Kelayakan Bahasa Malaysia.

“Insiden ini jelas merupakan manifestasi bahawa bahasa Melayu semakin dipinggirkan oleh Pakatan Harapan yang menerajui kerajaan. Rakyat perlu bangkit menegur kepincangan ini,” ujar beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Kalau semua pihak dapat menggunakan Bahasa Melayu dengan lebih baik dan banyak baguslah. Tidak wajar tinggal di Malaysia puluhan tahun masih tidak fasih Bahasa Kebangsaan. Warga Bangladesh dan Nepal datang ke Malaysia tidak sampai 3 bulan sudah boleh bebrbahasa Melayu dengan agak baik. Tapi ini boleh berubah dengan memberi kesedaran yang lebih menyentap hati. Kita tidak perlu risau. Yang perlu kita lebih risau dan perihatin ialah rasuah dan penyalahgunaan kuasa, terutamanya oleh pihak kerajaan. Dan semua pihak ada kerajaan – PH, Pas dan BN.

Comments are closed.