Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak diiringi pegawai SPRM dan anggota polis keluar dari Mahkamah Sesyen Jenayah menuju ke Mahkamah Tinggi Jenayah selepas mendengar pembacaan pertuduhan di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 04 JULAI 2018

KUALA LUMPUR – Pasukan pendakwa akan memohon kepada Mahkamah Tinggi untuk menetapkan tarikh perbicaraan kes pecah amanah dan salah guna kuasa membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada November tahun ini.

Pejabat Peguam Negara dalam satu kenyataan berkata, permohonan itu akan dilakukan pada 8 Ogos ini.

Kenyataan itu dikeluarkan begi menjelaskan kekeliruan dalamĀ  laporan media semalam mengenai tarikh perbicaraan kes tersebut serta dua kekeliruan lain bersangkutan kes bekas perdana menteri itu.

Laporan media menyatakan perbicaraan Najib akan bermula pada 18 Februari hingga 28 Februari tahun depan dan disambung pada 4 Mac hingga 8 Mac serta dari 11 Mac hingga 15 Mac.

Menurut kenyataan itu, Mahkamah Tinggi tidak menetapkan sebarang tarikh perbicaraan dan sebaliknya hanya menyatakan berdasarkan kelapangan jadual Hakim Mahkamah Tinggi bagi perbicaraan tersebut boleh ditetapkan.

“Mahkamah Tinggi dengan jelas menyatakan bahawa tarikh-tarikh perbicaraan hanya akan ditetapkan selepas tarikh sebutan iaitu pada 8 Ogos 2018,” kata kenyataan itu.

Kenyataan itu menambah, tarikh-tarikh perbicaraan bagi jenayah kolar putih yang rumit da melibatkan dokumen yang banyak jarang sekali ditetapkan pada tarikh pertuduhan yang merupakan kehadiran pertama pihak-pihak di mahkamah.

Semalam, Najib yang dihadapkan ke Mahkamah Tinggi mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan melakukan pecah amanah dan satu pertuduhan salah guna kuasa berhubung dana SRC International Sdn Bhd yang berjumlah RM42 juta.

Mengenai dakwaan bahawa pihak pendakwaan tidak bersiap sedia dengan dokumen untuk diserahkan kepada pasukan peguam bela seperti yang dibangkitan Tan Sri Shafee Abdullah, kenyataan itu berkata, pihak pendakwa tidak dijangka mengemukakan dokumen pada hari yang sama.

“Dokumen-dokumen berkaitan akan disampaikan kepada pihak pembelaan sebelum bermulanya perbicaraan,” katanya.

Mengenai ‘Gag’ order oleh Mahkamah Tinggi atas permohonan lisan oleh peguambela yang telah dibantah oleh pasukan pendakwaan, katanya, perintah tersebut adalah bersifat sementara.

Permohonan bertulis secara rasmi oleh pihak pembelaan disokong oleh afidavit yang menyatakan sifat dan takat sebenar perintah ‘Gag’ itu telah ditetapkan untuk pendengaran juga pada 8 ogos 2018.

“Pasukan pendakwaan akan menentang permohonan tersebut,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast