KUANTAN – Dua tonggak utama Pahang, M. Kogileswaran dan R. Dinesh berharap diberi kepercayaan untuk diturunkan pada perlawanan akhir menentang Selangor bagi merebut Piala FA 2018 di Stadium Bukit Jalil, Kuala Lumpur esok.
Kogileswaran berkata beliau dan Dinesh teruja untuk beraksi bagi membantu Pahang setelah pasukan itu gagal merangkul Piala FA musim lepas apabila tewas 3-2 kepada Kedah pada perlawanan akhir.
“Pasukan Pahang mempamerkan prestasi yang baik dengan gabungan pemain muda dan senior…kami sebagai pemain muda banyak belajar daripada pemain berpengalaman dan hasil bimbingan Ketua Jurulatih Dollah Salleh.”
“Nasib tidak menyebelahi kita pada saingan Piala FA musim lalu tetapi kita sekali lagi dapat menempah slot ke peringkat akhir. Kami sudah pasti teruja untuk menyumbang tenaga,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Penyerang berusia 20 tahun itu dilihat berpotensi tinggi untuk menyinar bukan sahaja dalam liga domestik, bahkan dalam pentas antarabangsa.
Sementara itu, bagi Dinesh yang akan bermain pada posisi pertahanan berkata peluang beraksi pada perlawanan akhir Piala FA adalah penghargaan kepada dirinya.-BERNAMA