KUALA LUMPUR – Pas mencadangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mujahid Yusof Rawa membentangkan usul untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965.
Ketua Penerangannya, Nasrudin Hassan berkata, sekarang adalah masa sesuai (walk the talk) oleh menteri berkenaan untuk membentangkan usul berkaitan sebagai usaha memperkasakan institusi, sistem dan skop perundangan serta kehakiman Syariah secara menyeluruh di Malaysia.
“Pas mengalu apa sahaja usaha substantif daripada pihak kerajaan Persekutuan Pakatan Harapan (PH) untuk memperkasakan institusi Mahkamah Syariah ke arah lebih mantap sama ada dari aspek pentadbiran, sistem dan jurisdiksi perundangan.
“Bagaimanapun, kuasa perundangan dan pentadbirannya terletak di bawah bidangkuasa kerajaan negeri, melainkan bagi Wilayah Persekutuan. Hal ini termasuk undang-undang mengenai ‘precept of Islam’ yang juga diberi kepada pihak negeri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Nasrudin berkata, cadangan itu bukan isu politik, bahkan memberi jaminan Ahli Parlimen Pas akan menyokong dan turut serta dalam perbahasan nanti.
“Anggaplah ia sebagai satu usaha bersama untuk membolehkan Dewan Undangan Negeri (DUN) membuat undang-undang dan menambah bidang kuasa Mahkamah Syariah mengenai hukuman bagi kesalahan jenayah yang terletak dalam bidang kuasa negeri sepertimana yang termaktub dalam Senarai II, Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
Beliau yakin, Pas tidak menolak keperluan dan maqasid akta itu sepertimana artikel yang pernah ditulis oleh Dr. Mujahid pada 8 September 2016 bertajuk, “Cadangan Pindaan Akta 355 Daripada Perspektif Ahli Legislatif: Satu Pendapat”.
Bahkan, katanya, akta tersebut tidak boleh dipinggirkan dengan akta atau enakmen atau ordinan Mahkamah Syariah yang lain. – MalaysiaGazette