Dua penyelam yang terlibat membawa empat pelajar keluar dari Gua Tham Luang hari ini. foto Agensi

BANGKOK – Empat lagi pelajar yang terperangkap dalam Gua Tham Luang berjaya dibawa keluar dalam operasi yang cukup mendebarkan.

Ini menjadikan jumlah mangsa yang masih berada dalam gua seramai lima orang termasuk jurulatih pasukan bola sepak itu.

Pelajar kelima dibawa keluar dari gua berkenaan pada pukul 4.30 petang dan pelajar keenam pukul 6 petang.

Manakala pelajar ketujuh dan kelapan sekitar 7 malam.

Setakat ini, pihak berkuasa tidak dapat mengesahkan nama-nama pelajar yang sudah dibawa keluar.

Empat mangsa terbaru yang diselamatkan itu dibawa menaiki ambulans untuk mendapatkan pemeriksaan kesihatan.

Para penyelam yang ditugaskan membawa keluar mangsa-mangsa diyakini dapat melaksanakan tugas berbaki itu lebih pantas daripada yang dijangkakan.

Setakat ini tidak dapat dipastikan sama ada mereka yang berada dalam gua akan dibawa keluar malam ini juga.

Kesemua 13 mereka terperangkap sejak 23 Jun lalu selepas gua berkenaan dinaiki air.

Pada sidang media petang tadi, bekas Gabenor Chiang Rai, Narongsak Osottanakorn, yang juga mengetuai operasi itu berkata, pasukan penyelam telah memasuki semula gua berkenaan pada pukul 11 pagi.

Penyelam-penyelam itu merupakan mereka yang sama mengeluarkan empat mangsa pertama semalam. – MalaysiaGazette