KUALA LUMPUR – Majlis Belia Malaysia (MBM) menggesa Kementerian Sumber Manusia (KSM) bertegas dalam isu ketirisan dan penyelewengan melibatkan Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK).
Langkah itu perlu dilakukan segera bagi mengelak perkara seperti yang berlaku pada 2016 dan 2017 tidak berulang kembali, kata Ketua Penerangan MBM, Mohamad Rizan Hassan.
“MBM menyambut baik kenyataan Menteri Sumber Manusia, M. Kulasegaran mengenai jaminan beliau menyelesaikan isu pengangguhan kuota pinjaman latihan kemahiran oleh PTPK yang dilaporkan pelbagai media semalam.
“Respon segera yang diberikan oleh beliau membuktikan komitmen kerajaan khususnya KSM dan Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran dalam mendengar suara dan pandangan MBM sebagai badan induk pertubuhan belia di Malaysia yang sentiasa membela nasib dan masa depan belia termasuk belia berkemahiran,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Mohamad Rizan berkata, tindakan tegas terhadap kakitangan yang tidak berintegriti dan beramanah dalam melaksanakan tugas perlu dilakukan bagi memastikan golongan belia tidak teraniaya dengan perbuatan mereka.
Pada masa sama tegas beliau, MBM turut menggesa pihak penyedia latihan yang terkesan dengan isu kuota pinjaman agar memastikan kualiti penyampaian latihan terus dipertingkatkan dan berada di tahap yang terbaik dalam memenuhi keperluan industri yang memerlukan tenaga kerja mahir dalam kalangan belia.
Tambahnya, sikap segelintir penyedia latihan yang tamak dan sanggup mengamalkan pendekatan rasuah akan menyebabkan semua pihak menjadi mangsa.
“Penyedia latihan juga diminta untuk sentiasa bersama kerajaan dalam memartabatkan pembangunan belia berkemahiran kerana ketika ini pendidikan teknikal dan vokasional (TVET) adalah suatu keperluan mendesak bagi Malaysia ke arah menjadi sebuah negara maju berpendapatan tinggi,” ujarnya. – MalaysiaGazette