SAINT PETERSBURG – Jurulatih Perancis, Didier Deschamps secara terbuka memuji Paul Pogba yang menyerlah di bahagian tengah ketika pasukannya menewaskan Belgium separuh akhir Piala Dunia, pagi tadi.
Menurutnya, semua pemain harus diberikan pujian namun Pogba ‘ada di mana-mana’ – bukan sahaja di bahagian serangan selain turut efektif posisi pertahanan.
“Saya fikir jurulatih Belgium, Roberto Martinez memutuskan untuk Marouane Fellaini mengawalnya. Jadi dia tidak boleh bergerak terlalu bebas memegang bola.
“Namun dia tahu apa yang perlu dilakukan dan tidak banyak mensia-siakan peluang. Dia lebih kreatif dalam aspek merampas bola, satu lawan satu dan beraksi dengan sangat baik.
‘Dia ‘lahir’ menerusi pasukan ini, dia seorang pemain yang penting. Dia tahu apa yang perlu dilakukan dan tindakannya di atas padang hanya akan meningkatkan kemampuan pasukan,” katanya pada sidang media selepas perlawanan berakhir.
Kali terakhir Perancis menjuarai Piala Dunia adalah pada tahun 1998 dengan Deschamps sebagai kapten menjulangnya di Paris selepas mendominasi final menewaskan Brazil 3-0.
Beliau enggan dibandingkan dengan kejayaan 20 tahun lalu dengan skuad ketika ini, sebaliknya fokus dengan misi membuka ‘muka surat baharu’ dalam sejarah bola sepak negara itu.
“Mereka berada dalam masa kini, jangan sesekali anda mengimbau kembali sejarah sendiri,” katanya.
“Pemain menyedarinya. Sesetengahnya masih belum lahir, sekadar melihat gambar. Ia adalah milik rakyat Perancis pada era itu, bukan kepada generasi baru.” – MalaysiaGazette