Khaled Nordin

KUALA LUMPUR – Keputusan Kerajaan Negeri Johor yang mengekalkan segala inisiatif dan dasar yang dibuat kerajaan terdahulu merupakan satu pengiktirafan terhadap usaha UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, ia menggambarkan dengan jelas bahawa pasukannya sebelum ini melakukan perkara yang betul dan diperlukan oleh negeri itu.

Malah, bekas menteri besar Johor itu berkata, ia juga menunjukkan perbelanjaan kewangan negeri sebelum ini diuruskan dengan baik, berhemah dan strategik.

“Sekalipun sesetengah program tersebut telah ditukar nama dan label rasminya, saya amat gembira, malah berterima kasih kepada kerajaan negeri kerana meneruskan semua itu.

“Kami pastinya tidak akan mengambil pendekatan ‘lembu punya susu, sapi dapat nama’ dalam perkara ini. Selagi mana ia bermanfaat kepada rakyat Johor, inisiatif lama yang saya bersama-sama pasukan UMNO dan BN usahakan sebelum ini harus diteruskan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Mohamed berkata, beliau berharap agar segala inisiatif tersebut bukan sahaja diambil begitu sahaja dan diteruskan bulat-bulat.

Sebaliknya, kata beliau, kerajaan negeri mesti bekerja keras dan turut memikirkan sendiri idea dan nilai tambah baharu yang boleh diberikan bagi menjadikan segala inisiatif kerajaan sebelum ini baik dan mantap.

“Hanya dengan berbuat demikian, hasil tangan dan nilai tambah dari Kerajaan Negeri PH dapat dilihat dan dinilai oleh semua pihak.

“Pada masa yang sama, saya amat berharap beberapa idea besar dan penting yang diusaha dan dirancangkan oleh pentadbiran saya sebelum ini akan diberikan perhatian sewajarnya oleh YAB Menteri Besar Johor,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast