KUALA LUMPUR – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menggesa orang ramai berhati-hati dalam membuat sebarang pelaburan dalam perdagangan mata wang kripto bagi mengelakkan penipuan.
Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, rakyat akan terus ditipu oleh ‘penyangak’ mata wang berkenaan sekiranya kerajaan masih berlenggah menyediakan garis panduan pelaburan melibatkan mata wang digital.
“Ada pihak-pihak tertentu melakukan penipuan melibatkan bayaran elektronik atau kaedah baharu, dulu kita tengok duit fizikal, sekarang ini duit pun tak nampak.
“Keghairahan orang ramai terhadap pelaburan beri keuntungan tinggi menyebab ramai orang tak sabar-sabar melabur dan bila ditipu duit sudah tiada lagi.
“Pihak berkuasa pun tidak mempunyai garis panduan macam mana nak menguruskan, kawal selia mata wang digital ini. Kita harap pengguna bersabar dulu,” katanya selepas melancarkan Program Gerakan Kuasa Pengguna di ibu pejabat PPIM hari ini.
Mata wang kripto yang dikenali sebagai bitcoin dicipta oleh Satoshi Nakamoto pada tahun 2009 dan dalam tempoh singkat, ia menjadi popular dan diterima sebagai salah satu kaedah transaksi global.
Ada yang menganggap bitcoin umpama ‘emas digital’ yang sah diperlakukan dan ia tidak dimiliki secara mutlak oleh mana-mana negara, kerajaan atau syarikat.
Nadzim juga berkata, pihaknya masih mengumpul maklumat dan kajian sedang dijalankan terhadap modus operandi penipuan mata wang kripto ini yang dikesan sejak awal tahun ini.
“Dalam enam atau tujuh bulan lalu penipuan itu mula timbul, mungkin awal tahun ini sudah timbul. Kalau pelaburan sudah keluar, kira sayonara biasa tidak akan dapat balik (wang).
“Kes ini bukan mudah. Kalau kerajaan tiada lagi (garis panduan) apatah lagi kita organisasi kecil dan memerlukan bahan kajian yang banyak,” katanya lagi. – MalaysiaGazette