Izham Hashim
Izham Hashim

KUALA LUMPUR – Parti Amanah Negara Selangor (Amanah) yakin Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis tetap menjadi milik Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan itu yang akan berlangsung 4 Ogos ini.

Pengerusinya, Izham Hashim berkata, bayangan itu dilihat menerusi bancian yang dibuat oleh PH sebelum ini.

“Saya berkeyakinan apa yang dibuat oleh pimpinan Pakatan Harapan sangat baik.

“Mengikut bancian 70 peratus pengundi telah menunjukkan kepuasan terhadap prestasi yang kita tunjukkan.

“Kita tidaklah terlalu agresif atau lembik, kita ambil jalan tengah,” katanya ketika ditemui dalam satu majlis di sini malam tadi.

Izham berkata, semua parti komponen dalam PH juga telah bersetuju untuk menggunakan logo PKR pada PRK Sungai Kandis dan segala gerak kerja untuk memancing undi serta kempen akan giat dilakukan.

Katanya, PH akan menumpukan sepenuh komitmen pada PRK berkenaan dan akan memastikan PKR memperoleh 100 peratus undi di kawasan tersebut.

Ujarnya, beliau yakin janji PH terutamanya dalam menangani isu Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) menjadi satu perkara yang mampu menambat hati pengundi memilih PKR pada PRK itu meskipun ia belum dihapus sepenuhnya.

“Nak hapus macam mana, sebab itu akta kenalah Parlimen bersidang dulu baru hapus. Jadi kita buat berperingkat,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pandan Indah.

PRK Sungai Kandis diadakan selepas Speaker DUN Selangor, Ng Sue Lim memaklumkan kekosongan sehari setelah penyandangnya, Mat Suhaimi Shafiei meninggal dunia akibat penyakit kanser pada 2 Julai lalu.

Ia merupakan PRK pertama selepas PRU14.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 pada 9 mei lalu menyaksikan Suhaimi mempertahankan kerusinya dengan meraih 55.6 peratus undi dan majoriti 12,480 menawaskan calon BN, Pas dan Parti Rakyat Malaysia (PRM). – MalaysiaGazette