KUALA LUMPUR – Pelakon Rozita Che Wan menyifatkan dirinya seperti Menteri Pembangunan Wanita gara-gara menerima banyak mesej daripada pengikut di laman sosial Twitter yang berkongsi mengenai masalah rumah tangga mereka.
Rozita atau lebih mesra dengan panggilan Che Ta, 45, berkata, aduan itu melibatkan ramai wanita yang gemar merampas suami orang berwajah tampan.
Menurut Che Ta, terdapat juga segelintir lelaki yang sudah berkahwin gemar melayan wanita seperti itu.
“Orang perempuan ni pantang tengok laki (suami) orang elok sikit, cepat ja dia nak ‘qentap’ (rampas).
“Tapi hat (yang) jantan (yang lelaki) tu pun jenis gatai (gatal). Adoi… Ramai sangat yang duk DM kami cerita pasal rumah tangga mereka.
“Macam kita ni menteri pembangunan wanita pula,” luahnya di Twitter menggunakan nama @rozitachewan1.
Ibu kepada Aaisyah Dhiarana itu mula aktif menggunakan Twitter sejak 26 Jun lalu walaupun sudah memiliki akaun sejak Ogos tahun lalu.
Sehingga kini Twitter menggunakan nama @rozitachewan1 itu mempunyai 827 pengikut manakala dia memiliki 3.7 juta pengikut di Instagram. – MalaysiaGazette