KUALA LUMPUR – Sebuah pusat hiburan di Taman Maluri, Cheras di sini gempar apabila sekurang-kurangnya 26 das tembakan dilepaskan di luar premis itu malam tadi, insiden tembakan kedua membabitkan pusat hiburan di sini susulan insiden pertama di Bukit Bintang pada 24 Jun lepas.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim berkata pihaknya menemui 26 kelongsong peluru kaliber 5.56 milimeter (mm) di tempat kejadian selepas menerima laporan mengenai insiden itu, kira-kira 9.30 malam.

“Hasil siasatan awal di tempat kejadian turut menemui 18 helaian kertas bersaiz A4 yang memaparkan gambar dua lelaki dipercayai berbangsa Cina. Bagaimanapun tiada mangsa yang tercedera dalam kejadian berkenaan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata kesemua kertas terbabit ditemui pada jarak kira-kira 22 meter dari lokasi suspek melepaskan tembakan.

Katanya polis sedang menjalankan siasatan termasuk meneliti rakaman kamera litar tertutup di sekitar kawasan kejadian.- MalaysiaGazette