Najib Razak
Najib Razak

KUALA LUMPUR – Kegagalan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) menamakan Speaker Dewan Rakyat yang kini berbaki dua hari sebelum persidangan bermula pada Isnin ini menimbulkan persoalan sama ada Peraturan Majlis Mesyuarat dipatuhi atau sebaliknya.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menegaskan, jika PH tidak mampu mematuhi peraturan badan tertinggi itu, kerajaan baharu tidak sewajarnya bermegah dengan pentadbiran berasaskan kedaulatan undang-undang.

“Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat jelas bahawa nama Tuan Yang Dipertua Speaker yang dicadangkan perlu dikemukakan kepada sekretariat Parlimen sekurang-kurangnya 14 hari sebelum sesi Parlimen bermula.

“Adakah Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat ini dipatuhi? Jika tidak mampu mematuhi peraturan badan tertinggi negara, bagaimana mahu mengakui bahawa kerajaan baharu ini mentadbir berasaskan kepada kedaulatan undang-undang,” katanya yang dimuat naik di akaun Facebook, hari ini.

Beliau mengulas calon Speaker Dewan Rakyat daripada PH yang sehingga kini masih menjadi tanda tanya malah laporan media ada menyebut Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gurun, menolak jawatan berkenaan.

Tidak kurang nama pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang dan bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Seri Mohd Hishamudin Yunus disebut-sebut sebagai calon Speaker Dewan Rakyat bagi penggal ke-14 bagi tempoh 2018 hingga 2023.

Mengulas lanjut, Najib juga berasa kesal apabila nama beliau cuba dikaitkan dengan kegagalan PH melantik Speaker Dewan Rakyat sedang Ahli Parlimen Pekan itu bukan lagi Perdana Menteri yang mengetuai pentadbiran kerajaan hari ini.

“Menteri Sumber Manusia mendakwa mereka yang mengajukan keresahan mereka ini hanya mensensasikan isu perlantikan bagi mengalih perhatian terhadap penindasan politik terhadap saya.

“Saya bukan lagi Perdana Menteri atau berada dalam kerajaan yang mentadbir, maka kenapa pula saya dipersalahkan terhadap isu pelantikan speaker ini?” soalnya.

Tegasnya lagi, beliau kesal apabila namanya dipersalahkan di atas kegagalan Kerajaan PH menunaikan janji 100 hari pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

“Seperti cerita hutang negara RM1 trilion kerajaan PH bersandarkan definisi sendiri yang tiada negara lain dalam dunia gunakan, nama saya terus diperalatkan.

“Alasan ‘semua salah Najib’ yang sudah menjadi prosedur standard operasi (SOP) Pakatan ini perlu dihentikan. Atau adakah ia akan berlanjutan selama 5 tahun akan datang?

“Alasan seumpama ini adalah tidak adil bagi rakyat apatah lagi, mereka mengharapkan yang lebih baik dari kerajaan baharu, atau adakah mereka akan terus dibelenggu dengan harapan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette