KUALA LUMPUR – Statistik polis menunjukkan kegiatan perjudian sempena dengan Piala Dunia 2018 lebih berleluasa berbanding empat tahun lalu dan tahun-tahun sebelumnya.
China Press melaporkan, kegiatan haram itu mengalami pertambahan mendadak berbanding edisi-edisi Piala Dunia sebelum ini, malahan meningkat secara berganda.
Polis pada masa yang sama telah menggandakan usaha untuk menumpaskan kegiatan tersebut termasuk membongkar identiti bookie yang mendalangi perjudian haram.
Sumber memberitahu, Bahagian Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Bukit Aman telah bekerjerjasama dengan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial untuk “menceroboh” ke dalam laman web perjudian bola untuk menjejak lokasinya.
“Beberapa laman web perjudian bola di Kuala Lumpur dan Johor telah dilumpuhkan kebelakangan ini,” katanya.
Polis pada Rabu lalu telah mengumumkan penahanan 589 bookie yang mana 506 orang daripadanya merupakan suspek keturunan Cina.
Menurut China Press, perebutan untuk tempat ketiga dan perlawanan pusingan akhir Piala Dunia amat mencuri perhatian dan menyebabkan nilai perjudian bertambah.
“Berikutan daripadanya, polis akan mengambil tindakan lebih tegas dalam penguatkuasaan termasuk menyerbu pusat perjudian haram dan markas bookie,” demikian lapor akhbar itu.
Ketua Penolong Pengarah D7, Datuk Rohaimi Md. Isa berkata, bookie merupakan pemenang dalam setiap perjudian yang diaturkan manakala mereka yang berjinak-jinak dengan perjudian akan mengalami kekalahan.
“Perjudian bola membawa kepada pelbagai isu masyarakat dan jenayah,” katanya. – MalaysiaGazette