KUALA LUMPUR – Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan menawarkan pelan perdamaian kepada timbalannya, Datuk Seri Mohd. Rafizi Ramli untuk menyelesaikan kemelut yang berlaku dan memastikan kestabilan parti.
Sinchew Daily melaporkan, mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR pada Ahad telah membincangkan isu percutian Mohd. Rafizi.
Mesyuarat itu diadakan secara tergempar di kediaman rasmi Perdana Menteri di Putrajaya.
Akhbar itu turut melaporkan bahawa untuk meredakan rasa tidak puas hati yang wujud, Anwar menawarkan supaya jawatan timbalan presiden tidak dipertandingkan dan memperuntukkan dua jawatan naib presiden kepada pemimpin daripada kem Mohd. Rafizi.
Menurut sumber, Anwar mengambil tindakan itu untuk menjaga kepentingan parti, dan kini terpulang kepada Mohd. Rafizi untuk menerima atau menolak tawaran yang diberikan.
Sumber berkata, keputusan pemilihan cabang PKR dipercayai tidak akan mengalami perubahan walaupun diaudit oleh pihak luar, dan hasilnya akan diumumkan pada Isnin.
“Tidak banyak masa yang tinggal kerana pencalonan untuk pemilihan pusat akan berlangsung pada 8 dan 9 Mei, manakala pemilihan pada 24 Mei,” katanya. – MalaysiaGazette
















