PETALING JAYA – Hubungan antara UMNO dan DAP dalam Kerajaan Perpaduan digambarkan seperti telur di hujung tanduk.
Situasi ini berlaku selepas Ahli Parlimen Puchong, Yeo Bee Yin, dan bekas Ketua DAP Selangor, Tony Pua, melontarkan kenyataan yang seolah-olah meraikan kegagalan Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mendapatkan kebenaran menjalani hukuman di rumah.
Timbalan Pengarang Eksekutif Sinchew Daily, Tay Tian Yan berkata, walaupun UMNO terpaksa akur kepada keputusan mahkamah, namun parti itu tidak dapat menerima sindiran terbuka yang dilemparkan terhadap parti mahupun Najib.
Beliau menjelaskan bahawa budaya Melayu cenderung menaruh simpati dan memberikan pengampunan kepada pemimpin yang telah pun menerima hukuman. Namun, Tony dan Bee Yin dilihat gagal memahami sensitiviti tersebut apabila mereka sengaja menambah beban kepada individu yang sedang dalam kesusahan.
Katanya lagi, ramai dalam masyarakat Cina juga berasa kurang elok dengan tindakan sindiran itu kerana ajaran Konfusianisme menekankan sifat simpati dan belas kasihan terhadap mereka yang dihukum, walaupun individu tersebut merupakan pihak lawan atau orang yang tidak disukai.
Menurut Tian Yan, pucuk pimpinan DAP dilihat tidak membantu dua orang yang dilanda kontroversi, tetapi seolah-olah berdiam diri.
Beliau berpendapat, kritikan pedas terhadap Najib itu mampu menjadi noktah yang mengakhiri kerjasama jangka pendek antara UMNO dan DAP.
“Kedua-dua parti, iaitu DAP dan UMNO, kalah teruk dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah. UMNO melihat DAP gagal mengukuhkan sokongan kaum Cina, manakala UMNO pula terus kehilangan sokongan orang Melayu.
“Jika kerjasama ini diteruskan, ia mungkin menjadi satu gandingan kalah-kalah yang merugikan kedua-dua pihak,” katanya, sambil memetik percanggahan pendapat antara kedua-dua parti mengenai isu Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).
Tian Yan menambah, walaupun kerjasama antara mereka penuh berliku sebelum ini, namun peranan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, dan Anthony Loke berjaya membaiki keadaan.
“Namun, dalam detik yang kritikal ini, Bee Yin dan Tony seolah-olah telah meledakkan ‘bom’ yang membakar kemarahan akar umbi UMNO dan masyarakat Melayu.
“Keadaan ini mungkin hilang kawalan sehingga mampu menghanguskan jambatan kerjasama yang telah dibina antara DAP dan UMNO,” tegasnya.

















muka mereka hanya elok di ludah