TAIPING – Timbalan Pengerusi DAP, Nga Kor Ming berkata, partinya akan berjumpa dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan meminta Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) diiktiraf.
Beliau juga mengulang pendirian DAP dalam usaha tersebut dan meminta masyarakat Cina supaya bersabar dan jangan khuatir.
Menurutnya, DAP telah mendengar suara masyarakat Cina dan akan menyemak diri secara rendah hati supaya negara terus maju.
Sinchew Daily memetik Kor Ming sebagai berkata demikian dalam satu majlis makan malam amal di Sekolah Menengah Hua Lian di Taiping.
DAP dilaporkan mengulas isu UEC secara proaktif buat kali pertamanya selepas parti itu mengalami kekalahan teruk dalam Pilihan Raya Negeri Sabah, yang menyaksikannya kecundang di semua kerusi, termasuk di kerusi bandar yang pernah menjadi kubu kuat.
Pakatan Harapan (PH) dilaporkan pernah memasukkan pengiktirafan UEC dalam manifesto pilihan raya pada 2018.
Manifesto itu memperjuangkan supaya pelajar dari sekolah persendirian yang mencapai kepujian dalam subjek Bahasa Melayu peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) boleh memohon kemasukan ke institusi pengajian awam menggunakan keputusan UEC.
Pada 2022, DAP sekali lagi memasukkan pengiktirafan UEC dalam manifesto pilihan raya walaupun menimbulkan pertikaian.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke juga pernah menegaskan pendirian PH dalam soal pengiktirafan UEC dan menyatakan usaha itu tidak pernah dilepaskan.
















