KOTA TINGGI – Tiga termasuk suami isteri maut dalam kemalangan melibatkan kenderaan utiliti sukan (SUV) Honda BRV dan kereta Perodua Axia di Kilometer 31.2, Jalan Kota Tinggi-Kluang di sini hari ini.
Nahas pukul pukul 6.20 petang itu mengorbankan penumpang Honda BRV, Mohd Noor Selamat berusia 58 tahun dan suami isteri yang menaiki Perodua Axia, Mohd Herwan Alias, 38, serta Nur Ezazaya Mohd Ali, 34.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman berkata, kemalangan berlaku apabila Honda BRV yang dipandu lelaki tempatan berumur 42 tahun bersama-sama dua penumpang lelaki iaitu penumpang yang masing-masing berusia 58 tahun.

“Sementara pemandu Perodua Axia dipandu lelaki warganegara berumur 38 tahun bersama-sama penumpang hadapan wanita warganegara berumur 34 tahun.
“Siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila Honda BRV dari arah Kota Tinggi- Kluang terbabas masuk laluan bertentangan bertembung Perodua Axia,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Beliau berkata, kemalangan tersebut menyebabkan penumpang belakang Honda BRV dan penumpang depan Perodua Axia cedera parah di kepala dan badan serta meninggal dunia di tempat kejadian.

Pemandu Perodua Axia parah dan meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke hospital manakala pemandu serta penumpang depan Honda BRV mengalami kecederaan dan masih dirawat di Hospital Kota Tinggi (HKT).
“Semua mayat mangsa yang terlibat telah dirujuk ke Forensik HKT bagi tujuan prosedur siasatan,” katanya.
Kes masih dalam siasatan bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Tenggara, Pegawai Bomba Kanan I Mohd Azri Yusof berkata, enam anggota dibantu sebuah Compact Fire Rescue Tender (CFRT) dikejarkan ke tempat kejadian.
“Pihak bomba bertindak mengeluarkan mangsa dan memberikan rawatan awal kepada mangsa yang cedera. Mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis,” katanya dalam kenyataan.
Menurut beliau, operasi tamat pukul 7.43 malam.- MalaysiaGazette
















