MELAKA – Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) akan diteruskan jika Barisan Nasional (BN) diberi mandat selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, turut akan diteruskan ialah program Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat (MeSRA) dan Hari Exco Bertemu Rakyat (HEBAT).

“Selepas kita diberi mandat oleh rakyat, kita akan buat balik (WRUR),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan
pembukaan Program WRUR Masjid Tanah: Kampung Kita peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara dan penutupan Karnival Falak peringkat kebangsaan di Kompleks Al-Khwarizmi di Tanjung Bidara di sini hari ini.

Menurut Ab Rauf, WRUR, Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat dan Hari Exco Bertemu Rakyat (HEBAT) adalah satu program yang menjadi kemestian kepada kerajaan negeri jika masih kekal mentadbir selepas PRN akan datang.

Ia kerana, jelasnya, ketiga-tiga program berkenaan dilihat amat berkesan dalam menyantuni dan menyelesaikan masalah rakyat.

“Dia (WRUR) akan menjadi program prosedur operasi standards (SOP) kepada pentadbiran kerajaan negeri kerana kita diberikan amanah untuk mengurus tadbir rakyat,” ujarnya.

Menurut beliau, WRUR Masjid Tanah: Kampung Kita peringkat DUN Tanjung Bidara adalah program ke-28 dan terakhir bagi penggal ini.

Datuk Seri Ab Rauf Yusoh menyerahkan bendera WRUR kepada salah seorang pengerusi JPKK DUN Tanjung Bidara pada pembukaan Program WRUR Masjid Tanah: Kampung Kita peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara dan penutupan Karnival Falak peringkat kebangsaan di Kompleks Al-Khwarizmi di Tanjung Bidara di Melaka malam tadi.

Secara berseloroh, Ab Rauf berkata, program Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat yang bakal diadakan pada 18 September ini akan jatuh pada hari Jumaat.

“Jelajah akan termasuk pada Hari Jumaat dan itulah…..Hari Jumaat ini kan jika…. ada lagi satu Jumaat,” katanya sambil tidak menjelaskan maksud sebenar hari Jumaat itu.

Beliau juga sempat mengusik media supaya tidak memintanya mengumumkan pembubaran DUN esok (Isnin).

“Kau jangan minta sangat bubar dewan esok nanti kau tak ada kerja lain,” katanya sambil tertawa. – MalaysiaGazzette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here