Gambar Arkib MG

RAUB – Di saat ramai penggemar durian menikmati “durian runtuh” susulan harga raja buah itu yang menjunam, keadaan sebaliknya pula dirasai oleh para petani.

Hasil tuaian yang luar biasa lumayan pada hujung tahun 2025 telah menyebabkan berlakunya lambakan bekalan di pasaran.

Disebabkan hasil tuaian kali ini turut menghadapi masalah kualiti tertentu, peraih bertindak menurunkan gred buah, sekali gus membelinya pada harga yang jauh lebih murah.

Penggredan yang tegas oleh peraih malahan menimbulkan pertikaian sehingga pekebun perlu memilih peraih yang lain.

Seorang pekebun di Raub, Pahang memberitahu China Press bahawa pendapatannya pada musim menuai kali ini merosot lebih 60 peratus, walaupun masih belum sampai ke tahap mengalami kerugian.

Katanya, hasil jualan menurun antara lain disebabkan buah yang sepatutnya dikategorikan sebagai Gred B telah diturunkan kepada Gred C atau CC yang harganya lebih rendah.

Seorang lagi petani menjelaskan bahawa sebelum ini, satu bakul durian Musang King seberat 50 kilogram mampu dijual pada harga antara RM1,000 hingga RM1,200, namun kini harganya jatuh kepada sekitar RM300 hingga RM400 sahaja.

Keadaan itu berlaku kerana hampir 90 peratus hasil durian dikategorikan sebagai Gred C, CC, malah sehingga CCC, berbanding Gred A dan B yang mempunyai nilai pasaran lebih tinggi.

Walaupun pendapatan pada hujung tahun ini dilaporkan kurang memberangsangkan, para pekebun tetap bersyukur kerana telah memperoleh pendapatan yang baik semasa tuaian pertengahan tahun 2025, yang membantu mereka daripada mengalami kerugian.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast