Logo DAP.

KUALA LUMPUR – Politik dalaman dan luaran DAP dilihat rancak susulan kekalahan teruk parti itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang menyaksikan mereka pulang dengan tangan kosong.

Veteran parti, Teng Chang Khim, sebelum ini menyatakan bahawa bekas Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, perlu berundur sepenuhnya dan tidak lagi bertanding dalam mana-mana pilihan raya akan datang.

Chang Khim dilaporkan melontarkan pandangan peribadi tersebut selepas mengesan pelbagai petanda bahawa Guan Eng, yang kini merupakan Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Pulau Pinang, sedang bersiap sedia untuk bertanding semula.

Dalam perkembangan terbaru, bekas pemimpin DAP, Ronnie Liu, turut menyatakan kesediaannya untuk aktif semula dalam arena politik selepas melihat prestasi hambar DAP dalam pilihan raya tersebut.

Apabila dihubungi Sin Chew Daily, Ronnie bagaimanapun enggan memberikan jawapan yang jelas mengenai kemungkinan beliau akan bertanding di bawah tiket Warisan.

“Pasti akan kembali (ke arena politik), tetapi maklumat lanjut hanya akan dibincangkan selepas ini,” katanya.

Berdasarkan laporan terdahulu, Ronnie yang pernah berkhidmat sebagai ADUN Pandamaran dan Sungei Pelek di Selangor, telah mengumumkan keluar daripada DAP pada Jun 2023.

Kenyataan Ronnie untuk aktif semula dalam politik mencetuskan spekulasi mengenai kemungkinan Warisan akan kembali “berlayar” ke Semenanjung menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Walau bagaimanapun, Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal, menegaskan bahawa partinya akan menumpukan perhatian kepada Sabah bagi menghadapi PRU dalam tempoh kira-kira dua tahun lagi, dan masih belum membuat keputusan untuk bertanding di Semenanjung.

Warisan sebelum ini pernah mencuba nasib bertanding di Semenanjung, namun gagal memenangi sebarang kerusi.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast