JOHOR BAHRU – Usaha membendung keganasan terhadap wanita dan keganasan rumah tangga memerlukan perubahan sikap serta budaya dalam masyarakat, dengan tanggungjawab itu tidak boleh diletakkan di bahu wanita semata-mata.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Lim Hui Ying berkata, golongan lelaki termasuk anak-anak lelaki perlu turut memainkan peranan dan menjadi sebahagian daripada penyelesaian dalam usaha mencegah keganasan.
Menurutnya, masyarakat perlu membentuk budaya yang mengutamakan nilai hormat, tanggungjawab dan hubungan yang sihat, selain memastikan keganasan tidak sesekali dianggap sebagai cara untuk mengawal atau menyelesaikan masalah dalam sesebuah hubungan.
“Dalam usaha mencegah keganasan, kita juga perlu melihat kepada perubahan sikap dan budaya. Usaha mencegah keganasan bukan tanggungjawab wanita semata-mata.
“Kaum lelaki dan anak-anak lelaki juga mesti menjadi sebahagian daripada penyelesaian. Kita perlu membentuk budaya yang mengutamakan rasa hormat, tanggungjawab dan hubungan yang sihat serta memastikan bahawa keganasan tidak pernah dianggap sebagai cara untuk mengawal atau menyelesaikan masalah dalam sesebuah hubungan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Advokasi Kesejahteraan Untuk Wanita @ Keganasan Rumah Tangga (Aku Wanita@KRT) dan Hari Terbuka Prismanita Negeri Johor 2026, di sini semalam.
Hui Ying berkata, pada masa sama masyarakat tidak seharusnya menutup mata terhadap kejadian keganasan hanya kerana berlaku dalam lingkungan keluarga.
Katanya, sikap berdiam diri dan menganggap keganasan rumah tangga sebagai urusan peribadi hanya akan menyebabkan mangsa terus terperangkap dalam situasi yang membahayakan.
Beliau turut menegaskan usaha menamatkan keganasan terhadap wanita tidak boleh dilaksanakan secara bermusim atau hanya diberikan perhatian pada sambutan tertentu.
Walaupun 25 November setiap tahun diperingati sebagai Hari Antarabangsa bagi Penghapusan Keganasan terhadap Wanita dan menjadi permulaan Kempen 16 Hari Aktivisme Menentang Keganasan Berasaskan Gender, katanya, usaha membanteras keganasan perlu diteruskan sepanjang tahun.
Program berkenaan turut memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai isu keganasan rumah tangga, selain meningkatkan pengetahuan orang ramai mengenai saluran bantuan yang boleh dimanfaatkan oleh mangsa.
Program itu juga dilihat sebagai platform penting untuk meningkatkan kesedaran masyarakat bahawa usaha menangani keganasan terhadap wanita memerlukan penglibatan semua pihak dalam membina keluarga dan komuniti yang lebih selamat.- MalaysiaGazette
















