Ustaz Auni Mohamed
Penasihat Syariah Dewan Perkasa Ekonomi Islam Nusantara (DPEIN), Ustaz Auni Mohamed bercakap pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Pengurusan Kewangan dan Kredit Ahli (PKKA) di di Dewan DPEIN, Pusat Perniagaan Danau Kota, Setapak, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 14 JULAI 2018

KUALA LUMPUR – Ramai tertanya-tanya sampai sekarang kenapa pendakwah bebas, Ustaz Auni Mohamed pernah mengadap Tuanku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim pada penghujung tahun lepas.

Walaupun gambar pertemuan itu disiarkan dalam laman web Johor Southern Tiger namun perincian mengenai pertemuan itu tidak dinyatakan.

25627147_958600854303214_3036933666703533907_o

Ustaz Auni merupakan seorang pendakwah yang terkenal dengan ilmu eskatologi (ramalan masa depan) Islam dan antara topik kepakarannya melibatkan Dajjal dan Freemason.

Dalam masa yang sama, Ustaz Auni juga tidak mengulas mengenai pertemuannya dengan TMJ dalam siri ceramahnya walaupun ramai peminatnya tertanya-tanya.

Bagaimanapun persoalan itu diulas oleh beliau semasa pertemuan dengan Malaysia Gazette di sini baru-baru ini.

Menurut Ustaz Auni, kunjungannya ke Istana Besar Johor pada 24 Disember 2017 (berdasarkan tarikh gambar dimuat naik) itu merupakan satu taaruf dan lawatan muhibah antara beliau dengan seorang raja di sebuah negeri.

Menurut beliau, pertemuan tersebut adalah bagi memenuhi permintaan anak lelaki Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar itu sebagaimana yang diberitahu oleh setiusaha sulit baginda.

“Sebelum perjumpaan itu berlaku, seminggu dua sebelum itu setiausaha baginda menghubungi saya minta jika ada kelapangan suruh datang (mengadap).

“Saya pun tak tahu untuk tujuan apa? Cuma saya, bila orang besar-besar panggil dalam fikiran terfikir mungkin ada benda-benda yang ada kontroversi sebab perkara-perkara panas dalam ceramah saya.

“Mungkin juga kesilapan ada benda yang orang nak jumpa dengan kita, jadi saya ambil perkiraan untuk bersedia apa yang boleh dan buat kesimpulan,” katanya yang juga Penasihat Syariah Dewan Perkasa Ekonomi Islam Nusantara.

Mengulas lanjut Auni berkata, dalam pertemuan selama sejam itu, TMJ lebih banyak memberikan pandangan peribadinya mengenai perkara-perkara tertentu berbanding daripada bertanyakan soalan.

Katanya, ketika berkunjung ke istana Johor beliau tidak pergi berseorangan sebaliknya membawa rakannya seramai empat orang.

Walaupun enggan mengulas lanjut namun Ustaz Auni ada membayangkan perbincangannya dengan TMJ antaranya ada melibatkan topik berkaitan Freemason.

Freemason merupakan pertubuhan rahsia peringkat antarabangsa melibatkan pemujaan syaitan dan dikaitkan dengan kedatangan Dajjal.

“Insya Allah mungkin selepas ini dalam bulan 12 nanti kami akan bertemu lagi dengan TMJ,” katanya.

Beliau juga menyatakan turut mendapat undangan untuk mengadap Sultan Brunei namun tidak menyatakan bila tarikhnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast