Azmin Ali bercakap kepada media pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 18 JULAI 2018.

KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang kini disebut-sebut sebagai antara calon paling layak bertanding merebut jawatan Presiden PKR mendedahkan dirinya masih lagi sedang ‘menimbangkan’ perkara tersebut.

Tanpa memberikan jawapan adakah beliau berminat atau sebaliknya, Azmin hanya menyatakan dirinya akan membuat keputusan itu dalam masa terdekat menjelangnya pemilihan Presiden penghujung Ogos nanti.

“Apa jawapan yang anda harapkan daripada saya? Saya akan beritahu keputusan itu ketika menjelangnya pemilihan nanti. Saya akan beritahu keputusan itu.

“Ketika ini, saya mahu fokus dahulu dengan perbahasan Dewan Rakyat yang baru sahaja bermula, banyak soalan dan debat yang perlu saya beri fokus.

“Saya akan berikan jawapan adakah saya mahu bertanding atau tidak,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen sebentar tadi.

Dalam pada itu, Azmin juga mengucapkan terima kasih kepada Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin yang sudah memberikan sokongan agar Ahli Parlimen Gombak itu bertanding bagi jawatan itu.

“Saya ucapkan terima kasih kepada beliau, tetapi keputusan itu saya akan buat nanti,” ucapnya sambil tersenyum.

Ahad lepas, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengeluarkan kenyataan beliau membuat keputusan untuk bertanding jawatan nombor satu parti itu sejurus selepas mengadakan perbincangan dengan kepimpinan tertinggi termasuk Datuk Seri Wan Azizah dan Azmin Ali.

Zuraida sebelum ini turut memberi bayangan walaupun Anwar mahu bertanding namun parti tersebut tetap mengamalkan dasar demokrasi dan memberi cadangan Azmin merupakan antara calon paling berkaliber menerajui parti tersebut.

“Kita menjulang dasar demokrasi seandainya jawatan ini mempunyai pencabar lain, selain Anwar Ibrahim,” ujarnya.

Dalam pada itu, Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar menyokong penuh bapanya untuk merebut jawatan Presiden parti itu.

Jelas Izzah yang juga merupakan Ahli Parlimen Permatang Pauh, jawatan ini sebenarnya akan memberi peluang kepada Anwar untuk terus berpolitik.

“Dalam banyak insiden, Anwar telah dinafikan hak untuk berpolitik dengan penghakiman serta penghukuman tempang tetapi kini tidak lagi.

“Sudah tentu saya sokong sepenuhnya untuk beliau bertanding jawatan nombor satu parti pada Ogos nanti,” ujarnya. -Malaysia Gazette