SST

PETALING JAYA – Dengan pelaksanaan rejim cukai jualan dan perkhidmatan (SST) pada September akan datang, orang ramai sudah tentunya memberi perhatian kepada pergolakan harga.

Walaupun begitu, penurunan harga mungkin tidak berlaku atau hanya terjadi secara kecil-kecilan.

Walaupun peniaga rata-ratanya mengalu-alukan pengembalian SST berbanding cukai barang dan perkhidmatan (GST) kerana dapat mengurangkan kos, tetapi mereka juga berpendapat perubahan GST kepada SST tidak akan memberi kesan besar kepada harga.

Selain itu, barangan tertentu seperti kereta, produk elektronik dan barangan elektrik malahan dijangka lebih mahal berbanding semasa rejim GST.

Dalam pada itu, orang ramai juga bimbang kerajaan akan memperluaskan lagi kutipan cukai untuk SST.

Presiden Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana, Datuk Michael Kang berkata, sekiranya SST menambahkan kos pengeluaran, maka pengilang pasti akan mengalihkan kos tersebut kepada pengguna.

Beliau berkata kepada Sinchew Daily, perusahaan juga bimbang kerajaan akan memperluaskan kutipan SST.

Keadaan itu boleh berlaku, menurut Michael, kerana kerajaan sebelum ini menjangkakan hasil kutipan sebanyak  RM42 bilion hingga RM43 bilion melalui GST dan pastinya mahu supaya SST mendatangkan hasil yang setaraf.

Pakar percukaian L.L. Kong pula berkata, berlainan dengan GST yang mana peniaga boleh memohon pemulangan cukai melalui cukai input, keadaan itu tidak berlaku untuk SST.

Jelasnya, kos tersebut sebaliknya akan tersembunyi dalam harga barang kerana peniaga tidak mahu menyerapnya.

Tambahnya, walaupun kerajaan kembali kepada rejim SST, tetapi kerangka lama SST dijangka akan diubah suai dan ditambah baik.

Presiden Persatuan Automotif Malaysia (MAA), Datuk Aishah Ahmad pula berkata, disebabkan kadar di bawah SST ialah 10 peratus berbanding enam peratus pada era GST, maka harga kereta dijangka lebih mahal.

Menurut Presiden Persatuan Akauntan Percukaian Malaysia (MATA), Datuk Abd. Aziz Abu Bakar, sesetengah barang akan mengalami kenaikan harga selepas SST dilaksanakan termasuk barangan elektronik dan produk elektrik rumah.

Abdul Aziz pernah memberitahu bahawa bukan semua barang akan mengalami penurunan harga dengan pemansuhan GST.

Beliau juga mengingatkan bahawa orang ramai akan menyalahkan kerajaan jika harga barang meningkat selepas rejim SST dilaksana semula.

“Kenaikan harga barang tidak selari dengan manifesto Pakatan Harapan yang mahu menurunkan harga melalui penghapusan GST,” katanya.

Presiden Persatuan Hotel Malaysia, Cheah Swee Hee berkata, memandangkan kadar cukai perkhidmatan di bawah SST dan GST adalah sama pada kadar enam peratus, maka ia tidak akan memberi kesan kepada harga perkhidmatan hotel.

Beliau bagaimanapun bersetuju bahawa memandangkan SST adalah “cukai satu lapis” maka ia lebih menjimatkan dari segi kos pentadbiran perniagaan.

Akta SST yang bakal dilaksanakan 1 September depan mencadangkan cukai jualan ditetapkan 10 peratus dan cukai perkhidmatan sebanyak enam peratus.
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, rang undang-undang itu akan dibentangkan di Dewan Rakyat bulan depan sebelum diluluskan dan seterusnya dilaksanakan.